Badan tersebut menggesa tindakan pantas bagi menyelesaikan masalah itu menerusi laporan terbaharunya bertajuk ‘Keluar daripada perangkap plastik: Menyelamatkan Mediterranean daripada pencemaran plastik’ yang diterbitkan semalam.

WWF berkata, Mediterra­nean mempunyai rekod tertinggi pencemaran plastik mikro, iaitu kepingan kecil plastik kurang daripada lima milimeter yang didapati semakin meningkat dalam rantaian makanan dan menimbulkan ancaman kepada kesihatan manusia.

“Kepekatan partikel plastik mikro hampir empat kali lebih tinggi di Laut Mediterranean berbanding dengan laut terbuka di tempat lain di dunia.

“Masalah itu, seperti juga di seluruh dunia, disebabkan plastik menjadi sebahagian bahan penting dalam kehidupan seharian kita sementara usaha kitar semula hanya mengurangkan satu pertiga sisa bahan itu di Eropah,” jelas laporan itu.

Menurut laporan itu, plastik mewakili 95 peratus sisa pencemaran terapung di kawasan perairan dan pantai Mediterranean, dengan kebanyakannya berasal dari Turki dan Sepanyol, diikuti Itali, Mesir serta Perancis.

“Bagi menangani masalah itu, harus ada perjanjian antarabangsa untuk mengurangkan pembuangan sisa plastik dan membantu membersihkan pencemaran di laut.

“Semua negara di sekitar Mediterranean harus meningkatkan usaha kitar semula, mengharamkan plastik sekali guna seperti beg dan botol serta menghentikan penggunaan partikel plastik mikro dalam bahan pencuci atau kosmetik menjelang 2025,” tegas WWF.

Industri plastik juga disaran membangunkan produk kitar semula dan mudah diurai yang diperbuat daripada bahan mentah boleh diperbaharui, bukannya bahan kimia berasaskan mi­nyak.

WWF berkata, setiap penduduk dunia juga mempunyai peranan penting membuat pilihan yang bijak seperti menggunakan sikat atau peralatan dapur yang diperbuat daripada kayu dan bukan plastik.– AFP