Lars Vilks yang menjadi sasaran rancangan pembunuhan melibatkan seorang wanita Amerika Syarikat (AS) yang menggelar dirinya 'Jihad Jane', memberitahu The Associated Press yang dia tidak menyesal dengan tindakannya melukis karikatur tersebut yang dianggap sebagai satu penghinaan oleh orang Islam.

"Saya sebenarnya tidak berminat untuk menghina. Tujuan karikatur itu dibuat adalah untuk menunjukkan ia boleh dilakukan. Tidak wujud sebarang perkara yang sangat mulia sehingga tidak boleh diejek," kata Vilks dalam satu temu bual di Stockholm.

Vilks melakar karikatur menggambarkan kepala Nabi Muhammad pada badan anjing lebih setahun selepas 12 kartun dalam akhbar Denmark mencetus kemarahan negara-negara Islam pada 2006.

Islam melarang keras gambaran atau lukisan Nabi Muhammad, walaupun untuk tujuan baik, kerana bimbang ia akan membawa kepada penyembahan.

Kartunis itu menyerahkan lukisan tersebut untuk dipamerkan di sebuah pusat kebudayaan Sweden, namun ia ditolak kerana khuatir tindakan itu akan mencetuskan masalah keselamatan.

Isu tersebut tidak diketahui ramai sehinggalah sebuah akhbar tempatan mencetak lukisan tersebut dengan tulisan editorial yang mempertahankan kebebasan meluahkan pendapat.

Ia menyebabkan negara Islam membantah dan membangkitkan debat antara Barat dan dunia Islam mengenai isu sensitiviti agama serta had dalam kebebasan bersuara.

Vilks pula terpaksa dipindahkan ke sebuah lokasi rahsia selepas berhadapan dengan ancaman bunuh, termasuk daripada kumpulan al-Qaeda di Iraq yang meletakkan wang ganjaran sebanyak AS$100,000 (RM332,350) pada September 2007 bagi sesiapa yang dapat membunuhnya.

Pelukis berusia 63 tahun itu berkata, dia telah membina sistem pertahanan sendiri, termasuk bilik kebal 'buatan sendiri' dan patung lengkap dengan dawai kawat yang mampu mengenakan kejutan elektrik tinggi kepada penceroboh. Dia juga memiliki kapak untuk 'menetak' sesiapa yang cuba memasuki rumahnya di selatan Sweden. - AP