Larangan diilhamkan Pre­siden Emmanuel Macron yang turut melibatkan penggunaan tablet dan jam tangan pintar itu diluluskan pada Julai lalu untuk dikuatkuasakan di semua sekolah rendah dan pra menengah di Pe­rancis.

Sekolah menengah yang mengambil pelajar berusia 15 hingga 18 tahun juga dibenarkan untuk memulakan sebahagian atau keseluruhan larangan tersebut apabila sesi persekolahan dibuka semula selepas musim panas namun tidak diwajibkan.

Ramai berpendapat undang-undang yang telah mendorong perdebatan hebat itu akan me­ngurangkan gangguan dalam kelas, memerangi gejala buli dan menggalakkan kanak-kanak menjadi lebih aktif semasa waktu rehat.

Hampir 90 peratus remaja Pe­rancis berusia antara 12 hingga 17 tahun mempunyai telefon pintar dan ramai berharap pengharaman tersebut membantu mengehadkan penyebaran kandungan ganas dan pornografi dalam kalangan kanak-kanak.

Menteri Pendidikan, Jean-Michel Blanquer memuji larangan tersebut sebagai ‘undang-undang untuk abad ke-21’ yang akan me­ningkatkan tahap disiplin lebih 12 juta murid sekolah di Perancis.

“Menjadi terbuka kepada teknologi masa depan tidak bermakna kita perlu menerima semua kegunaannya,” katanya ketika rang undang-undang itu dikemukakan di Parlimen pada Jun lalu.

Tetapi pengkritik telah menolak larangan itu sebagai latihan perhubungan awam dan meramalkan peraturan baharu tersebut sukar untuk dilaksanakan.

Kerajaan telah membiarkan pihak sekolah untuk memutuskan sendiri cara melaksanakan peraturan baharu itu, mengesyorkan bahawa mereka menyimpan telefon pelajar di lokar pada siang hari tetapi sesetengah sekolah tidak memilikinya.

Macron sebelum ini berjanji melakukan pembaharuan meluas apabila beliau dipilih dan bidang pendidikan tidak terkecuali daripada sasarannya.

Seiring dengan pengharaman telefon pintar, beliau telah me­ngurangkan hampir separuh saiz kelas di kawasan berkeutamaan tinggi kepada hanya 12 pelajar dalam usaha meminimumkan jurang besar pencapaian antara kanak-kanak daripada keluarga miskin dan kaya.

Skim yang meliputi kanak-kanak berusia enam hingga tujuh tahun itu akan diperluaskan kepada pelajar berusia tujuh dan lapan tahun menjelang sesi persekolahan baharu tahun ini. – AFP