Kaum wanita di kampung itu hanya dibenarkan memakai baju tidur dari pukul 7 malam hingga 7 pagi.

Undang-undang itu dikuatkuasakan oleh golongan tua di kampung yang terletak di daerah Godavari Barat. Wanita yang melanggar undang-undang itu akan dikenakan denda sebanyak Rs2,000 (RM114.70).

Bukan itu sahaja, penguatkuasaannya diperketatkan dengan memberi ganjaran Rs1,000 (RM57) kepada mereka yang melaporkan kesalahan itu kepada ketua kampung.

Meskipun kelihatan mengarut, namun undang-undang larangan berbaju tidur pada waktu siang itu mendapat persetujuan lebih daripada 11,000 keluarga di seluruh daerah tersebut.

Seorang pegawai polis, Sub Inspektor Vijay Kumar yang bertugas di Kampung Tokalapalli memberitahu tiada sesiapapun datang ke balai polis untuk menentang pelaksanaan undang-undang kecil itu.

Menurut seorang penduduk, Saraswati, belum ada seorang pun wanita didenda kerana kesalahan memakai baju tidur pada waktu siang sejak undang-undang itu diperkenalkan baru-baru ini.

Sementara itu, seorang penduduk yang menyokong undang-undang tersebut berkata, rata-rata penduduk di kampung itu gembira dengan pelaksanaannya. – MIRRORNOWNEWS.COM