Sebelum ini, sebuah lubang dilaporkan terbentuk pada lapisan ozon di atas Antartika sekitar 1980-an berikutan pelepasan bahan kimia berbahaya ke atmosfera.

Lubang berkenaan mengakibatkan sejumlah besar cahaya ultra-lembayung memasuki bumi dan dikaitkan dengan peningkatan bilangan pesakit kanser kulit.

Mail Online melaporkan, dalam kajian PBB, saintis mendapati sejak larangan dikenakan terhadap pengeluaran produk kimia itu, lapisan ozon yang terjejas berjaya dipulihkan pada kadar satu hingga tiga peratus dalam tempoh sedekad.

Lapisan ozon itu beransur-ansur pulih setiap tahun dan pemulihan sepenuhnya dijangkakan menjelang 2060.

Perkembangan ini adalah hasil kajian penilaian Protokol Montreal yang bertempoh empat tahun, setelah larangan dikenakan pada 1987 terhadap gas buatan manusia yang merosakkan lapisan ozon pada altitud paling tinggi.

“Sebagai hasil daripada Protokol Montreal, lebih banyak pengurangan ozon di kawasan kutub telah dielakkan,” kata laporan itu.

PBB memuji kejayaan Protokol Montreal yang mengharamkan atau menghentikan pengeluaran bahan kimia berbahaya kepada ozon termasuk chlorofluorocarbons (CFCs).

CFCs sebelum ini secara meluas dalam peti sejuk dan tin semburan cat yang dikatakan punca utama ehilangan lapisan ozon.

Kajian PBB juga mendapati berlaku penurunan jangka panjang dalam jumlah gas-gas tercemar ini di atmosfera dan ozon stratosfera telah pulih.

Katanya, lubang ozon di An­tartika dijangka beransur-
ansur pulih dan kembali ke paras pada tahun 1980-an semasa tahun 2060-an.

“Pada kadar yang diunjurkan, Hemisfera Utara dan ozon pertengahan latitud dijangka pulih sepenuhnya pada tahun 2030 diikuti oleh Hemisfera Selatan pada tahun 2050 serta kawasan kutub menjelang 2060,” kata Pertubuhan Meteorologi Dunia dan Alam Sekitar PBB.