Beliau turut menafikan sebarang pakatan sulit dengan Rusia semasa kempen pilihan raya pada tahun lalu.

“Semua ini merupakan fitnah terbesar dalam sejarah politik AS dan saya tegaskan tiada pakatan sulit,” tegas beliau yang dilaporkan portal BBC.

Bekas Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Robert Mueller dilantik mengetuai siasatan tersebut.

Pengumuman pelantikan Mueller itu mengejutkan White House malah Trump hanya dimaklumkan selepas Timbalan Peguam Negara, Rod Rosenstein menandatangani arahan tersebut.

FBI dan Kongres kini menyiasat kemungkinan wujud hubu­ngan antara pasukan kempen Trump dengan Rusia.

Semalam, Trump menafikan cuba mempengaruhi siasatan berkenaan dengan memecat bekas Pengarah FBI, James Comey pada minggu lalu.

“Comey bukan seorang yang popular malah semasa saya memutuskan untuk memecat beliau, ini merupakan keputusan semua pihak, bukan sahaja pihak Demokrat tetapi juga Republikan yang turut memperkatakan keburukan Comey,” katanya.

Trump juga menafikan me­minta Comey untuk menggugurkan siasatan terhadap bekas Penasihat Keselamatan Negara, Michael Flynn dan menyifatkannya sebagai fitnah.

Penafian itu dibuat selepas laporan pihak media berhubung memo yang ditulis Comey me­nuduh Trump telah membuat permohonan untuk menutup siasatan terhadap Flynn dan Rusia pada Februari lalu.

Sementara itu, New York Times melaporkan, Flynn telah memaklumkan pada Januari lalu bahawa beliau sedang disiasat oleh FBI kerana bekerja sebagai pelobi untuk Turki semasa kempen pilihan raya itu.

Beberapa minggu selepas itu, Trump melantik Flynn sebagai Penasihat Keselamatan Negara walaupun telah diberi amaran namun Flynn dipecat selepas 24 hari memegang jawatan berkenaan.

Dalam pada itu, Trump kini ber­ada di Arab Saudi dalam lawatan pertamanya ke luar negara sebagai Presiden bagi memperbaiki hubungan dengan sekutu kuatnya itu selain memulakan proses damai Arab-Israel dan kemungkinan mengukuhkan kembali peranan tentera AS di rantau tersebut.

Lawatan itu disifatkan langkah simbolik untuk Trump yang sedang menghadapi masalah pentadbiran di AS namun pemimpin Arab optimis dengan kunju­ngan tersebut walaupun pemimpin AS itu tidak popular di rantau tersebut ekoran sikap anti-Islam semasa berkempen pada pilihan raya tahun lalu.

Beliau akan mengadakan siri pertemuan bermula esok dengan pemimpin Arab Saudi termasuk Raja Salman Abdulaziz al-Saud dan Timbalan Putera Mahkota, Mohammed Salman.

Arab Saudi mahu lebih banyak bantuan AS dalam menghadapi Iran dan kumpulan bersenjata selain pelaburan untuk syarikat-syarikat negaranya.