Lampu isyarat yang dinamakan FlowLight dile­takkan berhampiran meja pekerja dan mampu mengukur produktiviti mereka melalui penggunaan beberapa warna.

Warna hijau menunjukkan pekerja tersebut berada di meja dan boleh didekati, merah pula menunjukkan mereka sedang sibuk, lampu berwarna merah berkelip-kelip pula me­nunjukkan mereka tidak boleh diganggu manakala warna kuning menandakan mereka tidak berada di meja masing-masing.

Lapor portal Daily Mail, teknologi berkenaan menggunakan hubungan antara tetikus dengan papan kekunci bagi melihat sama ada pekerja terbabit sedang bekerja keras atau tidak melakukan sebarang kerja.

Selain itu ia turut mencatatkan keadaan tersebut dalam kalendar kerja pekerja bagi menghalang rakan sekerja mereka me­ngganggu semasa me­syua­rat.

FlowLight dicipta oleh David Shepard yang me­rupakan ketua penyelidik kejuruteraan perisian ABB dengan kerjasama Universiti Zurich, Switzerland.

“Kami menghasilkan FlowLight bagi mengurangkan kos gangguan pekerja dengan menggabungkan penunjuk gangguan fizikal dalam bentuk lampu trafik dengan pengukuran gangguan automatik berdasarkan interaksi komputer pekerja,” katanya.

Terdapat pengesan yang boleh mengumpulkan data bagi menunjukkan jumlah penggunaan tetikus dan papan kekunci komputer.

Sistem itu menggunakan tiga komponen untuk menentukan warna lampu trafik itu sama ada sebagai pengesan, penganalisa atau pengurus.

Berdasarkan analisis data, pasukan berkenaan mendapati mereka yang menggunakan alat tersebut mengalami 46 peratus kurang gangguan.