Penasihat Kanan Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, Liu Bang Chuan berkata, langkah itu bagi mengukuhkan keamanan selain menjaga hubungan antara kedua-dua buah negara.

Malah katanya, langkah itu diambil berikutan Taiwan mahu meminimumkan risiko kepada keselamatan nasional negaranya sementara memaksimumkan kerjasama serantau walaupun kedua-dua negara bergolak dalam isu laluan udara baharu tersebut.

“Pelancaran laluan penerbangan kontroversi oleh pihak berkuasa Beijing tanpa melakukan rundingan dengan pihak berkuasa Taiwan hanya membahayakan keselamatan penerbangan selain mengganggu status quo di sepanjang selat Taiwan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

China Eastern Airlines dan Xiamen Air telah memohon untuk menambah 176 bilangan pesawat tambahan bagi penerbangan antara Taiwan dan China pada musim perayaan Tahun Baharu Cina, pertengahan Februari ini.

Bagaimanapun, Pentadbiran Aeronautik Awam Taiwan (CAA) menolak permohonan tersebut berikutan dua syarikat penerbangan itu mahu menggunakan empat laluan baharu yang dianggap kontroversi bagi Taiwan selain keputusan itu hanya dibuat sebelah pihak.

Tindakan tersebut merupakan pertama kali diambil Taiwan bagi menentang China berhubung isu laluan udara. - UTUSAN ONLINE