Puteri Diana adalah ikon fesyen global dan gaya pemakaiannya yang mewah dan menawan masih menjadi sumber inspirasi wanita di seluruh dunia sehingga kini.

Menurut portal berita mirror.co.uk, David dan Elizabeth Emanuel yang bertanggungjawab mereka gaun perkahwinan dan antara pereka kegemaran Puteri Diana sering ditugaskan untuk mencipta penampilan baharunya.

Pasangan adik beradik itu telah menghasilkan lebih 100 pakaian untuk Puteri Diana ketika menghadiri majlis khas dan lawatan ke luar negara.

Sebelum lawatan Puteri Diana dan Putera Charles ke negara-negara Teluk pada tahun 1986, kedua-dua mereka diminta untuk menghasilkan siri pakaian yang sesuai dengan adat setempat.

Mereka kemudian dilaporkan menghasilkan empat rekaan gaun labuh berlengan panjang dan rekaan simpanan kelima melibatkan burka yang menutup Puteri Diana dari kepala hingga kaki dengan hanya satu kain jarang di bahagian matanya.

“Tidak dapat dipastikan Puteri Diana memakai burka tersebut semasa lawatan tetapi hakikat bahawa mendiang bersedia untuk mempertimbangkannya menunjukkan kepekaannya terhadap budaya lain,” jelas laporan itu.

Lakaran dan sampel kain untuk pakaian tersebut bakal dijual dalam satu lelongan oleh syarikat RR Auction di Amerika Syarikat (AS) pada 25 September ini.

Koleksi lakaran tersebut dijangka dijual pada harga 24,000 pound (RM128,628) yang turut disertakan dengan invois untuk setiap pakaian yang berharga antara 275 pound dan 450 pound (RM 1,473 hingga RM2,411) setiap satu.

Puteri Diana dan Putera Charles membuat lawatan selama enam hari ke Oman, Qatar, Bahrain dan Arab Saudi pada bulan November 1986.

Di Arab Saudi, Puteri Diana telah dijemput ke istana Raja Fahd yang disifatkan satu penghormatan besar dan jarang diberikan kepada seorang wanita walaupun mendiang tidak dibenarkan makan bersama golongan lelaki.