Mail Online melaporkan, Maria Ontiveros melahirkan bayi kembarnya dalam selang 20 minit dan keadaan itu secara tidak langsung menjadikan bayinya memiliki tahun, hari dan bulan kelahiran yang berbeza meskipun mereka adalah sepasang kembar.

Menurut sumber, bayi kembar perempuan itu dilahirkan secara tidak cukup bulan kerana mereka dijadualkan lahir pada 27 Januari 2018.

“Pada pukul 7 petang waktu tempatan, Maria dimasukkan ke wad bersalin selepas mengadu sakit dan bayi kembarnya dilahirkan secara normal dalam selang 20 minit pada tengah malam di Pusat Perubatan Wilayah Delano.

“Bayi kembar pertama­nya yang dinamakan sebagai Joaquin dilahirkan pada pukul 11.58 malam pada 31 Disember 2017, manakala adiknya, Aitana dilahirkan 20 minit kemudian iaitu pada pukul 12.16 pagi pada 1 Januari 2018,” jelas sumber tersebut.

Dalam pada itu, Maria dan suaminya yang merupakan pe­kerja ladang mempunyai tiga lagi anak perempuan dan mereka menerima pelbagai jenis barangan bayi bernilai lebih AS$3000 (RM12,184) yang disumbangkan oleh pihak hospital dan kumpulan komuniti tempatan.

Keadaan Maria dan bayi kembarnya juga dilaporkan sihat dan mereka dibenarkan pulang ke rumah mereka yang terletak di kawasan kejiranan Earlimart.

Sementara itu, 12 bulan lalu empat kelahiran kembar direkodkan di Amerika Syarikat iaitu di Georgia, Utah, Arizona dan San Diego di California.

Tahun sebelum itu, hanya satu kelahiran kembar direkodkan iaitu di San Diego.