Menurut agensi berita Dogan, pasukan pengawal pantai Turki menyelamatkan 211 pelarian dari sebuah bot kayu berukuran 20 meter panjang yang belayar dari pekan Datcha menuju ke Pulau Kos di Greece.

Rakaman televisyen turut me­nunjukkan anggota penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan berpuluh-puluh mangsa dari laut sehingga menyebabkan kapal pengawal pantai sesak dengan pelarian.

Bagaimanapun status kerakyatan pelarian terbabit belum dapat di­sahkan dan usaha menyelamat lebih ramai mangsa masih dijalankan.

Kejadian terbaharu itu berlaku tidak jauh dari Bodrum, lokasi mayat pelarian kanak-kanak Syria, Aylan Kurdi terdampar di pantai kira-kira dua minggu lalu selepas bot yang dinaikinya karam ketika menuju ke Pulau Kos.

Kelmarin, seramai 34 pelarian Syria termasuk 15 kanak-kanak, empat daripadanya bayi, terbunuh apabila bot kayu yang mereka naiki karam ketika menyeberangi Laut Aegan dari Turki menuju ke Pulau Farmakonisi di Greece.

Sehari sebelum itu, empat pelarian kanak-kanak dilaporkan hilang selepas sebuah bot karam di Pulau Samos.

Pihak berkuasa Turki mengesahkan, seramai 72 pelarian disahkan terbunuh dalam tempoh beberapa hari lalu akibat kejadian bot karam ketika cuba menyeberangi Laut Mediterranean dari Turki ke pulau-pulau kecil milik Greece. – REUTERS/AFP