Menurut Badan Pengurusan Kecemasan Persekutuan, lava panas yang mengalir ke kawasan perumahan Leilani Estates di Big Island menyebabkan bilangan kediaman dan struktur lain yang musnah meningkat kepada 82 buah berbanding hanya 50 pada minggu lalu.

Sebanyak 2,200 ekar tanah terbakar akibat lava sejak 3 Mei lalu hasil letusan terburuk dan paling berbahaya Gunung Berapi Kilauea dalam tempoh lebih satu abad.

“Terdapat lapan buah rumah musnah di sepanjang jalan raya ini dalam tempoh 12 jam,” kata seorang penduduk, Ikaika Marzo dalam video di laman Facebook sambil menunjukkan rumah sepupunya yang ‘dimamah’ lava berwarna hitam berkilat di jalan Kaupuli.

Magma dan ketulan batu yang keluar dari kawah gunung berapi setinggi 30 meter itu dijangka melimpah dan dikhuatiri menga­lir ke kawasan perumahan di Jalan Kahukai dan Mohala.

Pasukan bomba dan penyelamat pergi dari rumah ke rumah untuk membantu penduduk ke­luar dari kawasan berkenaan sebelum aliran lava itu memusnahkan kediaman mereka.

Kira-kira 37 rumah sudah dilitupi lava menjadikannya tidak lagi boleh diakses dan mereka yang tidak berpindah dikhuatiri mungkin terperangkap di dalamnya.

Pakar Geologi Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat, Wendy Stovall memberitahu media, ali­ran lava itu sentiasa meningkat dan melimpah keluar. – REUTERS