Kejadian itu berlaku kurang sehari selepas sekumpulan pela­rian seramai 600 orang tiba dengan sebuah bot kayu untuk memohon perlindungan.

“Pasukan mencari dan menyelamat kami menemukan sebuah bot lagi yang dinaiki lebih 400 pela­rian dari Myanmar dan Bangladesh termasuk etnik Rohingya, hanyut di luar perairan di timur Aceh awal pagi tadi,” kata Ketua Bahagian Mencari dan Menyelamat Wilayah Aceh, Budiawan kepada AFP.

Katanya, pihak berkuasa percaya kemungkinan lebih banyak lagi bot telah tiba.

Kumpulan nelayan turut membantu melakukan rondaan di perairan Aceh.

“Kami sedang bersiap sedia untuk menyelamat mereka apabila menerima amaran,” katanya.

Hampir 1,000 pelarian kini me­nerima bantuan makanan dan rawatan perubatan di pusat perlindungan, klinik dan rumah penduduk tempatan di sekitar Aceh.

Seorang pelarian Rohingya, Jahangir Hussin memberitahu wartawan tempatan bahawa ejen telah meninggalkan mereka di laut de­ngan bekalan minyak yang sedikit.

Kesemua pelarian itu menaiki bot di Thailand dan dalam perjalanan ke Malaysia, tetapi hanyut ke perairan pantai Indonesia apabila bot mereka kehabisan minyak.

Beribu-ribu pelarian etnik Rohingya sanggup mengambil risiko melintasi laut berbahaya dari Myan­mar ke selatan Thailand dan seterusnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – AFP