Gambar fail menunjukkan Jared Kushner (kanan) dan Michael Flynn di White House, Washington. AFP

Akhbar Washington Post melaporkan, perkara itu telah di­bincangkan semasa pertemuannya dengan Duta Rusia, Sergei Kislyak pada bulan D­isember lalu di Trump Tower.

Laporan itu merupakan tuduhan terbaharu kemungkinan wujudnya pakatan sulit antara pasukan kempen Trump dengan Moscow.

Kushner dikatakan mencadangkan penggunaan kemudahan diplomatik Rusia di Amerika Syarikat (AS) bagi memudahkan komunikasi berkenaan.

Kislyak yang perbualannya dengan Moscow berhubung pertemuan itu telah dipintas oleh AS, dilaporkan 'terkejut dengan cadangan tersebut’.

Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh bekas Penasihat Keselamatan Negara, Michael Flynn, yang merupakan individu utama dalam siasatan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Pendedahan itu berlaku sehari selepas media AS me­laporkan FBI sedang menyiasat Kushner sebagai sebahagian daripada siasatan agensi itu walaupun beliau bukan individu pelaku utama seperti Flynn.

Akhbar New York Times mengandaikan cadangan Kushner bertujuan membolehkan Flynn berbual terus dengan pegawai kanan tentera di Moscow bagi membincangkan pelbagai isu termasuk Syria.

FBI juga meneliti pertemuan antara Kushner dengan seorang pengurus bank Rusia yang mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Washington Post turut melaporkan, Jawatankuasa Pe­risikan Senat telah meminta pasukan kempen Trump menyerahkan kesemua dokumen yang berkaitan dengan Rusia bermula daripada pelancaran kempen pada bulan Jun 2015.

Ini merupakan pertama kali pasukan kempen pilihan raya yang sepatutnya membantu kempen, terlibat dalam siasatan Senat. – dpa