Oddity Central melaporkan, pelajar terlibat akan diberi gred berdasarkan peratusan penuru­nan berat badan serta pencapaian di dalam kelas.

Menurut seorang pensyarah di Universiti Agrikultur Nanjing, Zhou Quanfu, beliau mendapat idea untuk membangunkan program tersebut selepas mendapati kebanyakan pelajarnya yang mempunyai berat badan berlebihan enggan bersenam.

“Saya mendapat idea untuk menggalakkan mereka bersenam dan menurunkan berat badan menerusi program tersebut.

“Sebanyak 60 peratus gred penuntut akan ditentukan berdasarkan jumlah berat badan yang berjaya diturunkan dalam tempoh tertentu, manakala lagi 40 peratus disumbangkan menerusi aktiviti kurikulum,” katanya.

Pelajar yang menyertai program tersebut perlu menurunkan berat badan sekurang-kurangnya tujuh peratus daripada berat asal mereka menjelang hujung semester bagi memperoleh gred penuh.

Penuntut di universiti berke­naan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum menyertai program tersebut dan hanya mereka yang mempunyai lebihan lemak sebanyak 30 peratus serta indeks jisim badan (BMI) melebihi 28 dibenarkan menyertainya.

Selain perlu melakukan akti­viti fizikal, pelajar yang terlibat juga dikehendaki mengawal pe­ma­kanan, merekodkan jumlah pengambilan kalori setiap hari dan memuat naik gambar makanan ke dalam kumpulan WeChat untuk membolehkan kegiatan mereka dipantau oleh pakar nutrisi.

Setakat ini, seorang penuntut berjaya menurunkan berat badan daripada 110 kilogram kepada 84.5 kilogram.