John Solecki, ketua agensi pelarian PBB (UNHCR) di wilayah Baluchistan, barat daya negara ini telah diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Quetta semasa dia dalam perjalanan ke tempat kerja pada 2 Februari lalu.

Pemandunya terbunuh dalam insiden tersebut.

Ia adalah kes penculikan paling berprofil tinggi melibatkan warga Barat di Pakistan sejak 2002, apabila wartawan Amerika Syarikat (AS), Daniel Pearl diculik dan dipenggal kepalanya oleh militan Al-Qaeda.

"Ini adalah tarikh akhir yang kami tetapkan. Kami akan membunuh Solecki selepas tempoh yang diberikan berakhir dan institusi kerajaan akan bertanggungjawab sekiranya perkara itu berlaku," demikian menurut surat oleh Barisan Pembebasan Bersatu Baluchistan (BLUF) yang dihantar kepada agensi berita tempatan, Online.

Ketua biro agensi tersebut, Irfan Saeed berkata, mereka telah menerima panggilan telefon semalam yang meminta mereka mengambil sepucuk surat yang diletakkan di dinding sebuah sekolah kerajaan di Quetta untuk disiarkan oleh media.

Surat tersebut disertakan dengan senarai nama 1,109 etnik Baluchistan yang hilang dan didakwa BLUF telah ditahan oleh kerajaan.

BLUF telah meletakkan 16 Februari lalu sebagai tarikh akhir sebelum ia dilanjutkan sehingga tempoh 72 jam bagi kerajaan memenuhi tuntutan mereka.

Surat itu juga menggesa PBB, kumpulan hak asasi manusia dan keluarga Solecki mendesak kerajaan Pakistan memenuhi tuntutan mereka itu. - AFP