Perkara itu dibuktikan melalui data perangkaan oleh laman web The Economist baru-baru ini yang merekodkan jumlah pelarian di negara-negara krisis termasuk Syria, Iraq dan Rwanda.

Sejak insiden pertempuran meletus di Rakhine pada 25 Ogos lalu, jumlah pelarian Rohingya meningkat secara mendadak dengan purata 120,000 orang menyeberangi sempadan setiap minggu.

Jumlah aliran mingguan etnik minoriti itu keluar dari Myanmar adalah yang tertinggi sejak kejadian pembunuhan beramai-ramai yang berlaku antara April hingga Ogos 1994 di Rwanda.

Dalam tempoh tersebut, purata 111,000 pelarian Rwanda meninggalkan negara itu setiap minggu.

Syria juga turut menyaksikan purata hanya 33,000 orang menyeberangi sempadan setiap minggu ketika krisis memuncak pada 2013 walaupun jumlah pelarian di negara itu mencatat angka 5.5 juta orang di seluruh dunia ketika ini.

Dalam pada itu, kerajaan Myan­mar mengesahkan lebih 20 buah rumah terbakar dan sebuah bom diletupkan berhampiran sebuah masjid di perkampungan etnik Rohingya di negeri Rakhine dalam dua kejadian berasingan lewat petang semalam.

Menurut kenyataan yang di­siarkan oleh Jawatankuasa Pe­nerangan Kerajaan Myanmar, keganasan terbaharu itu berlaku di Kampung Kyain Chaung di daerah Maungdaw dan Kampung Mi Chaung Zay di perbandaran Buthidaung.

Jawatankuasa itu menyalahkan kumpulan pengganas sebagai dalang kejadian tersebut dan mendakwa tiada kematian mahupun kecederaan dilaporkan.

Komander Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing turut menyiarkan satu kenyataan di Facebook yang mendakwa kononnya militan Rohingya menanam periuk api buatan sendiri yang meletup di antara sebuah masjid dan mad­rasah di perbandaran Buthidaung utara Rakhine semalam.

Beliau menuduh kumpulan pejuang Tentera Keselamatan Arakan Rohingya (ARSA) sebagai dalang kejadian itu yang berusaha mengusir sekitar 700 penduduk kampung yang tinggal di Mi Chaung Zay walaupun ramai aktivis menyifatkannya sebagai dakwaan yang tidak masuk akal.

Namun, Amnesty Internatio­nal mengesahkan imej dan video satelit terbaharu menunjukkan kepulan asap dan rumah-rumah yang hangus di kawasan berkenaan, bertentangan dengan dakwaan Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi bahawa operasi ketenteraan di sana telah berakhir.

Tujuh negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Britain semalam turut meminta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres untuk mengadakan pertemuan dan taklimat bagi membincangkan isu keganasan berterusan di Myanmar yang dilihat sebagai penghapusan etnik.

Negara terlibat termasuk Sweden, Perancis, Mesir, Senegal dan Kazakhstan mahu Ethiopia yang merupakan Presiden pertubuhan tersebut bagi bulan September untuk mengatur taklimat tersebut minggu depan, lapor agensi berita Reuters.