International Business Times melaporkan, insiden tercetus sejak Ahad lalu apabila berlaku pertempuran antara etnik Rohingya de­ngan polis sempadan Myanmar yang mengakibatkan sembilan anggota pasukan keselamatan itu terbunuh berhampiran Bangladesh.

Susulan itu, satu operasi dilaksanakan tentera Myanmar bagi memburu individu terlibat, membunuh lapan lelaki Rohingya.

Pertempuran berlaku semula kelmarin dan semalam mengakibatkan lebih banyak kehilangan nyawa termasuk empat orang tentera Myanmar.

Berikutan itu, tentera negara ini melaksanakan serbuan di pekan Maungdaw, Buthidaung dan Rathedaung yang padat dengan etnik Rohingya.

Radio Free Asia melaporkan, keganasan terbaharu itu berpunca daripada keputusan kerajaan Myan­mar yang mahu merobohkan masjid yang didakwa dibina secara haram di Rakhine.

Menurut jurucakap kanan tentera Myanmar, Brigedier Jeneral Hla Mying Soe, agensi keselamatan negara ini sedang mencari dalang yang menyerang pos kawalan sempadan pada Ahad lalu.

Pergolakan terbaharu itu me­ningkatkan kemungkinan keganasan pada 2012 di wilayah berkenaan berulang yang menyaksikan lebih 100 orang terbunuh sekali gus memaksa puluhan ribu etnik Rohingya berpindah ke kem pelarian.

Penasihat khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Vijay Nambiar dalam pada itu meminta orang awam di Rakhine supaya mengawal diri dan tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi susulan insiden tersebut.

Sengketa agama di Rakhine turut mengakibatkan etnik Ro­hingya menjadi orang hanyut dan mencari perlindungan di Thailand, Indonesia serta Malaysia pada tahun lalu.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), hampir 25,000 orang etnik Rohingya menjadi orang hanyut dengan menaiki bot pada Januari dan Mac tahun lalu selain menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Selain jalan laut, etnik Rohingya turut menggunakan jalan darat melalui Thailand sehingga dijadikan mangsa pemerdagangan manusia selepas beberapa buah kubur besar dijumpai di kawasan sempadan Thailand-Malaysia pa­da­ tahun lalu.