Malah, seruan Ketua Dasar ­Asing EU, Federrica Mogherini dan Pesuruhjaya bagi Pembesaran EU, Johanness Hahn disifatkan “tidak berguna”.

Pertelingkahan itu sema­kin meruncing selepas Belanda menghalang dua menteri Kabinet Turki iaitu Menteri Keluarga, Fatma Betul Sayan Kaya dan Menteri Lu­ar, Mevlut Cavusoglu daripada memasuki negara itu beberapa hari lalu bagi tujuan mengadakan perhimpunan bersama-sama rakyat Turki di luar negara supaya menyokong referendum yang akan mengukuhkan kuasa Presiden Turki pada 16 April ini.

Sebagai reaksi kepada tindakan Belanda, Turki telah melarang Duta Belanda, Kees Cornelis van Rij kembali ke Ankara dan menggantung perbincangan politik peringkat tertinggi kedua-dua negara.

Menurut laporan BBC, Timbalan Perdana Menteri Turki, Numan Kurtulmus berkata, selain larangan dan pengantungan perbincangan, kerajaannya juga tidak akan benarkan pesawat yang membawa para diplomat dari Belanda atau wakil mereka mendarat di Turki atau menggunakan ruang udara negara ini.

Kerajaan Belanda memberikan alasan kebimbangan ketenteraman dan keselamatan awam menjelang pilihan raya negara itu esok sebagai penolakan kepada membenarkan penganjuran perhimpunan yang juga dihalang di negara anggota EU lain seperti Jerman dan Austria kecuali Pe­rancis.

Suasana menjelang pilihan raya Belanda kini didominasi dengan kebimbangan terhadap isu pendatang dan juga puak radikal Islam.

Berikutan keengganan beberapa buah negara Eropah itu membenarkan penganjuran perhimpunan berkenaan menyebabkan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menuduh Belanda dan Jerman masih mendokong prinsip yang diperjuangkan tentera Nazi atau Nazism.

“Saya pernah berkata bahawa fahaman Nazi telah berakhir. Tapi, kenyataan saya itu ternyata salah,” kata Erdogan yang turut melabel Belanda sebagai ‘republik pisang’ atau negara yang tidak stabil.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte meng­anggap tindakan Erdogan melabel negara itu sebagai ‘sisa-sisa Nazi’ tidak boleh diterima dan mendesak supaya satu permohonan maaf dibuat ekoran tuduhan berkenaan.