Imran yang memenangi pilihanraya umum bulan lalu berjanji memerangi rasuah dan mengurangkan jurang kemiskinan dalam kalangan penduduk­nya berjumlah 208 orang yang kebanyakannya beragama Islam.

Beliau yang memakai pakaian tradisional shewarni berwarna hitam dengan gaya seperti seorang hero dan juga pengasas negara ini iaitu, Muhammad Ali Jinnah, membacakan akuan sumpah memegang jawatan dan juga mempertahankan Perlembagaan.

Selepas membaca pengakuan sumpah ketika berdiri bersebelahan Presiden Mamnoon Hussain, Imran telah menerima perbarisan kehormatan di laman kediaman rasmi Perdana Menteri.

Rampasan kuasa tentera yang berlaku sebelum ini telah merencatkan sejarah 71 tahun Pakistan dan pilihanraya yang dimenangi Imran hanyalah peralihan kuasa secara demokratik yang kedua di negara ini.

Sekiranya beliau berjaya menamatkan khidmat selama tempoh lima tahun, beliau akan menjadi Perdana Menteri Pakistan yang pertama berjaya untuk berbuat demikian.

Partinya, Pakistan Tehree­k-e-Insaf (PTI) mendapat 151 daripada 342 kerusi dalam dewan perhimpunan kebangsaan.

Imran berjaya mengalahkan de­ngan pesaingnya, Shehbaz Sharif dari Parti Liga Muslim Pa­kistan-Nawaz (PML-N) yang mem­peroleh 176 undi daripada 96 undi Sharif.

Pakistan berdepan dengan masalah ekonomi dan juga keganasan militan Islam sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Salah satu tugas pertama Imran sebagai perdana menteri adalah mencari cara menyelesaikan krisis mata wang yang mengancam untuk menjejaskan ekonomi yang berkembang sekitar enam peratus setahun.

Kerajaan campuran yang baharu perlu memutuskan segera sama ada untuk meminta di­selamatkan oleh Tabung Kewa­ngan Antarabangsa (IMF) atau men­dapatkan bantuan China, yang dianggap sebagai sekutu yang paling boleh dipercayai.

Hubungannya dengan Amerika Syarikat telah terjejas apabila para pegawai AS mendakwa Pakistan memberikan sokongan kepada pejuang Taliban di Afghanistan. Pakistan bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Upacara angkat sumpah itu dihadiri oleh ramai selebriti, olahragawan, dan ahli politik Pakistan, serta bekas pemain kriket India, Navjot Singh Sidhu, yang berkhid­mat sebagai menteri pelancongan bagi wilayah India Punjab.

Imran berpendidikan Oxford dan antirasuah, telah berjanji mewujudkan berjuta-juta pekerjaan dan membina hospital kelas dunia dan sekolah yang mana le­bih daripada 40 peratus penduduk negara ini masih buta huruf. –REUTERS