Perkara itu dimaklumkan oleh pegawai kanan PBB kepada Majlis Keselamatan (UNSC) dalam satu mesyuarat khas untuk membincangkan krisis di Maldives.

Krisis politik di negara pulau itu bermula apabila Abdulla mengeluarkan arahan supaya beberapa hakim ditahan selepas mereka mengeluarkan perintah pembebasan beberapa pemimpin pembangkang.

Sumber dalaman badan dunia itu memberitahu, Penolong Setiausaha Agung PBB, Miroslav Jenca memaklumkan kepada UNSC, walaupun tiada laporan mengenai keganasan berlaku di Maldives, keadaan di negara itu semakin tegang dan mungkin bertambah buruk.

Mesyuarat ber­kenaan adalah yang pertama diadakan oleh UNSC sejak krisis terbabit tercetus pada 1 Februari lalu, tetapi tiada kenyataan dikeluarkan sebaik sahaja mesyuarat berakhir.

Krisis politik di Maldives semakin meruncing selepas Abdulla mengingkari perintah Mahkamah Agung supaya membebaskan sembilan ahli politik.

Empat hari selepas perintah mahkamah itu dikeluarkan, Abdulla mengisytiharkan perintah darurat selain mengarahkan pasukan keselamatan menahan Ketua Hakim Maldives, Abdulla Saeed dan Hakim Mahkamah Agung, Ali Hameed.

Sejak mengambil alih peme­rintahan pada 2013, kerajaan pimpinan Abdulla telah melancarkan serbuan dan menahan hampir kesemua ahli politik pembangkang.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa Abdulla menarik semula perintah darurat berkenaan manakala Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Zeid Ra’ad Al Hussein menyifatkan tindakan pemimpin itu sebagai ‘satu serangan terhadap sistem demokrasi’.

Baru-baru ini, Jenca meng­hubungi Menteri Luar Maldives, Mohamed Asim dan meminta negara itu membebaskan ketua hakim dengan segera selain menyelesaikan krisis politik melalui rundingan bersama.

Semalam, Abdullah menolak untuk mengadakan pertemuan dengan diplomat dari Kesatuan Eropah (EU), Jerman dan Bri­tain. – AFP