Kajian terbaharu me­nun­jukkan hidupan laut sebesar klip kertas itu mampu mencerna mikroplastik bersaiz kurang dari­pada lima milimeter sebelum dikumuhkan semula ke alam sekitar dalam bentuk yang lebih kecil.

Penyelidik, Amanda Daw­son membuat penemuan itu semasa bertugas dalam projek yang membabitkan ‘butiran mikro’ di akuarium kril, Bahagian Antartika Australia untuk menganalisis kesan toksik pencemaran.

Butiran mikro merupakan plas­tik polietilena yang sering digunakan dalam kosmetik seperti skrab muka.

“Kami mendapati kril mampu menghancurkan plas­tik, ini sa­ngat menakjubkan,” kata Dawson dari Universiti Griffith manakala penemuan itu telah disiarkan dalam jurnal Nature Communications.

Katanya, sukar untuk menge­tahui secara mendalam tentang implikasi penemuan tersebut, namun menurut teori, plastik dalam laut telah melalui proses degradasi dan menjadi lebih rapuh justeru memudahkannya hancur.

Ahli biologi Bahagian Antartika Australia, So Kawaguchi berkata, ini merupakan kali pertama kumpulan saintis mengkaji pencernaan mikroplastik oleh krustasia berkenaan.

Kajian itu juga mendapati cebisan yang dikumuhkan adalah 78 peratus lebih kecil berbanding butiran mikro asal malah ada yang 94 peratus lebih kecil daripada bahan itu.

“Ini merupakan laluan baharu bagi hubungan mikroplastik de­ngan ekosistem,” katanya.

Beliau menambah, kajian itu juga mendapati zoo­plankton lain yang mem­punyai sistem pencernaan sama berkemungkinan mam­pu untuk memecahkan mikroplastik.

Namun, Dawson menjelaskan, penemuan itu mempunyai kesan baik dan buruk dengan mene­gaskan bahawa bahan toksik berkenaan mungkin tersebar dalam kitaran makanan ekoran partikel kecil tersebut mampu dimakan oleh organisma kecil. – AFP

“Kajian ini baru di peringkat permulaan justeru kami perlu melakukan kajian lanjut,” katanya.

Masalah pencemaran plastik semakin serius malah setiap tahun lebih lapan juta tan plastik ditemukan dalam lautan menyebabkan kerosakan ekosistem marin bernilai berbilion-bilion dolar.

Pencemaran itu turut membunuh lebih sejuta burung laut, kira-kira 100,000 mamalia dan sejumlah besar ikan. – AFP