Gambar dikeluarkan Pasukan Tentera Darat Cendrawasih Indonesia merakamkan seorang anggotanya memegang kotak hitam pesawat Trigana Air yang dijumpai di Gunung Tangok, di Papua, semalam. AFP

Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) menemukan pesawat itu dalam keadaan hancur di kawasan Gunung Tangok iaitu kira-kira 14 kilometer dari Lapangan Terbang Oksibil, destinasi sepatutnya pesawat itu mendarat, pada kira-kira pukul 2.10 petang waktu tempatan.

Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Bambang Soelistyo berkata, selain semua mayat mangsa, kotak hitam turut ditemukan di kawasan berkenaan bersama-sama sebahagian wang yang hangus terbakar.

“Pada kira-kira pukul 2.10 waktu Indonesia Timur, kotak hitam, semua jenazah korban dan sebahagian wang sudah ditemukan di kawasan pesawat jatuh,’’ katanya seperti yang dipetik daripada Kompas.com.

Menurut Soelistyo, beliau telah mengarahkan pasukan mencari dan menyelamat yang berada di tempat kejadian supaya mengutip wang tersebut dan menyerahkan kepada pihak berkuasa. Pesawat tersebut dilaporkan membawa wang tunai berjumlah Rp6.5 bilion (RM1.92 juta)

Wang itu merupakan wang dana Program Simpanan Keluarga Sejahtera (PSKS) di Papua yang dibawa oleh petugas pejabat Pos Indonesia cawangan Jayapura untuk diagih-agihkan kepada penduduk miskin di kawasan Papua.

Pesawat jenis ATR42 itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Sentani di Jayapura pada pukul 2.22 petang kelmarin sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Oksibil, pada pukul 3.04 petang, tetapi disahkan hilang apabila didapati tidak mendarat dan gagal dihubungi.

Soelistyo berkata, semua mayat yang ditemukan sudah tidak sempurna, tetapi masih boleh dikenal pasti.

“Kesimpulannya, penumpang dan kru sudah ditemukan dan sekarang tinggal proses mengeluarkan mayat mangsa dari lokasi kejadian ke Oksibil atau Jayapura, bergantung kepada penerbangan,” katanya.

Pasukan gabungan SAR telah tiba di tempat kejadian dan sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa menggunakan helikopter dengan menurunkan tali dan mengangkat mayat mangsa satu persatu.

Sementara itu, Pengurus Keselamatan Trigana Air, Alfried Purnomo memberitahu wartawan Basarnas menghentikan proses membawa keluar mayat dari kawasan nahas petang ini ekoran cuaca tidak mengizinkan dan akan diteruskan semula awal pagi esok.

Pesawat yang membawa 49 penumpang rakyat tempatan iaitu 44 dewasa termasuk empat petugas Pos Indonesia, dua kanak-kanak dan tiga bayi itu dikendalikan oleh juruterbang Kapten Hasanudin, pembantu juruterbang Ariadin, juruteknik Mario, dan dua pramugari yang dikenali sebagai Ika dan Dita. – UTUSAN