Taufan Melor yang juga dikenali sebagai Taufan Nona itu berlaku kira-kira 150 kilometer di barat laut kepulauan Mindoro, selatan Manila dengan membawa angin kencang selaju 130 kilometer sejam.

Gabenor Mindoro, Alfonso Unali dalam temubual di radio memaklumkan bahawa Taufan Melor adalah satu daripada taufan paling kuat membadai wilayah itu, tahun ini yang meragut nyawa empat penduduk.

Sementara itu, pegawai bencana, Jonathan Baldo berkata, lima lagi mangsa terkorban di wilayah Samar, di mana lokasi per­tama Tau­fan Melor membadai menyebabkan kira-kira 90 peratus kawasan di wilayah itu terjejas.

“Ramai penduduk yang akan menyambut Krismas tahun ini di pusat-pusat pemindahan tanpa bekalan elektrik dan bekalan air bersih,” ujarnya.

Katanya, usaha menyambung bekalan elektrik di wilayah itu akan mengambil masa yang panjang iaitu antara tiga atau empat bulan akibat dilanda angin kencang.

Dalam pada itu, sebanyak lima nelayan dilaporkan hilang di Te­luk Albay, kawasan yang dipenuhi penduduk di kepulauan Luzon.

Cuaca buruk juga memaksa kira-kira 120 penerbangan domestik dibatalkan dan hampir 200 per­khid­matan feri terpaksa ditangguhkan buat sementara.

Taufan kali ini memaksa lebih 800,000 penduduk dipindahkan, ketika satu lagi taufan dijangka membadai selatan negara ini ming­gu ini, kata peramal kaji cuaca. 
– REUTERS