Dalam satu pengumuman yang dibuat menerusi saluran televisyen tempatan, Korea Utara menyatakan ujian bom hidrogen itu diarahkan oleh pemimpinnya iaitu Kim Jong-un dan disifatkan sebagai satu kejayaan yang sempurna serta bermakna dalam melengkapi program senjata nuklear mereka.

Korea Utara turut menyatakan bom itu dicipta untuk dipasang pada peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).

Pihak berkuasa Jepun dan Korea Selatan memaklumkan ukuran gempa bumi yang dikesan berhampiran dengan tapak ujian tersebut adalah 10 kali lebih kuat berbanding siri letupan sebelum ini, sekali gus membuat kesimpulan negara itu telah melancarkan siri ujian nuklear yang keenam.

Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa bumi tersebut berukuran 6.3 pada skala Richter.

Ujian senjata nuklear terbaharu itu dilakukan ketika ketega­ngan serantau semakin meningkat ekoran Pyongyang melancarkan dua ICBM pada Julai lalu yang direkodkan mampu terbang sejauh 10,000 kilometer.

Menurut pakar kejuruteraan nuklear, Kune Y. Suh dari Universiti Kebangsaan Seoul, letupan yang berlaku hari ini berkemungkinan adalah ujian bom hidrogen.

Jelasnya, kekuatan letupan yang tercetus adalah 10 hingga 20 kali lebih kuat dan skala itu me­nunjukkan ujian berkenaan melibatkan bom hidrogen.

Orang ramai di Yanji, China yang bersempadan de­ngan Korea Utara memberitahu merasai gegaran selama 10 saat. – REUTERS