Menurut laporan terbabit, majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan seni dan sesi bergambar bersama-sama Jong-un.

Beberapa keping gambar yang dikeluarkan oleh KCNA menunjukkan Jong-un melemparkan senyuman ketika tampil pada majlis berkenaan bersama-sama Ketua Institut Senjata Nuklear Korea Utara, Ri Hong-sop dan Naib Pengarah Jabatan Industri Senjata Api Parti Pekerja, Hong Sung-mu.

Hong-sop dan Sung-mu memainkan peranan penting dalam program nuklear negara itu, selain turut turun padang ketika Jong-un melakukan pemeriksaan lapangan dan ujian senjata, termasuklah ujian terbaharu minggu lalu.

Sementara itu, Jong-un memuji kejayaan ujian nuklear tersebut sambil menyifatkan ia adalah ‘sempurna’ serta turut menggesa pembangunan senjata baharu dilaksanakan.

Sepanjang minggu lepas, para pegawai Korea Selatan telah mengeluarkan amaran bahawa Pyongyang akan melancarkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) baharu untuk menentang sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jumaat lalu, Washington menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk mengadakan mesyuarat pada minggu hadapan untuk mengundi berkaitan draf resolusi yang mengenakan sekatan tambahan terhadap ujian peluru berpandu dan nuklear Korea Utara.

Menurut Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera, adalah wajar untuk memberi tekanan kepada Korea Utara menerusi sekatan tambahan, termasuklah menyekat atau memperlahankan bekalan bahan api.

“Jika kita meletakkan tekanan yang tegas terhadap Korea Utara dan sedar mereka tidak lagi boleh membangunkan peluru berpandu, Pyongyang akan menerima dialog serta kita boleh teruskan dengan usaha diplomatik,” ujar Onodera kepada stesen penyiar tempatan, NHK hari ini. - REUTERS/AFP