Bagaimanapun, langkah Pyong­­yang dan Seoul menghantar perwakilan tertinggi ke Panmunjom, sebuah perkampungan gen­catan senjata di Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan Semenanjung Korea nyata mengejutkan lebih-lebih lagi selepas lebih dua tahun tiada sebarang rundingan diadakan.

Dalam rundingan tersebut, Pyongyang bersetuju menghantar perwakilannya dalam temasya Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan yang dijadualkan berlangsung bulan depan manakala Seoul mencadangkan supaya pertemuan semula antara keluarga yang terpisah dalam Perang Korea 1950-1953 turut diadakan pada tempoh sama.

Pertemuan itu antara lain menyaksikan Pyongyang dan Seoul meneruskan semula run­dingan peringkat ketenteraan antara kedua-dua negara tanpa melibatkan Amerika Syarikat (AS) ketika Korea Utara langsung tidak mahu menyebut soal menghentikan program persenjataan mereka.

Walau apapun, rundingan itu nyata memberi kelegaan kepada Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in yang bimbang Korea Uta­ra akan tetap mencari cara untuk melancarkan peluru berpandu, melakukan keganasan atau ujian nuklear dan beliau mahu menjernihkan keadaan tersebut menerusi sukan.

Beberapa pemerhati di Seoul atau Washington percaya Jong-un yang merupakan peminat sukan mengadakan rundingan tersebut atas semangat Olimpik selain menjadikan temasya itu sebagai peluang yang ideal untuk mengetepikan ancaman tindakan ketenteraan oleh Pre­siden AS, Donald Trump jika Pyongyang tidak menghentikan program nuklearnya.

Dengan pembabitan Korea Utara dalam temasya itu, Pyongyang akan mendapat sedikit kelegaan di sebalik sekatan an­ta­rabangsa yang mula menghimpit mereka selain negara itu dapat membawa China kembali ke kedudukan tradisionalnya, menyokong negara komunis terbabit.

Penyelidik American Enter­prise Institute, Nicholas Eberstadt berkata, Pyongyang me­ngambil langkah bijak dengan menunjukkan bagaimana negara dunia masih dengan tabiat lama meremehkan Korea Utara.

“Sekiranya mereka dapat mem­buat lubang menerusi tekanan maksimum dan pakatan itu akan mula bocor sekali gus memberikan mereka lebih ruang dan masa bagi mencapai objektif yang semuanya berkaitan program nuklear,” katanya.

Pada masa sama, strategi itu dilihat selari dengan kehendak Parti Progresif Korea Selatan yang mahu menghentikan ke­tegangan di Semenanjung Korea dan mengetepikan Amerika walaupun Seoul bertegas mahu mengekalkan peranan kuasa besar dunia itu.

Malah, Jong-un semasa ucapan tahun baharu tampil segak di depan kamera dengan sut dan tali leher mengikut cara Barat, bak seorang negarawan yang menunjukkan beliau sebagai pemimpin yang mahu kekal berkuasa dan berpengaruh.

Selain itu, langkah Jong-un tidak membincangkan tentang program persenjataan dalam rundingan berkenaan dibimbangi pakar ada kaitan dengan hasrat Pyongyang memberi kelegaan kepada sekatan antarabangsa mahupun ancaman serangan AS.

Ini akan memberikan cukup masa bagi Pyongyang mengarahkan jurutera mereka menyiapkan kepala peledak yang dapat sampai ke benua Amerika selaras dengan hasrat Jong-un untuk mengekalkan program persenjataan Korea Utara.

Bukti ini jelas apabila ketua delegasi Korea Utara, Ri Son-gwon semasa rundingan ber­ke­naan membantah cadangan Korea Selatan untuk meneruskan perbincangan penghentian program nuklear Pyongyang.

Trump yang sebelum ini ber­ikrar untuk menghancurkan Ko­rea Utara jika Pyongyang me­letakkan negara itu berisiko bagaimanapun dilihat mengambil kredit daripada perubahan pendirian Korea Utara apabila menyatakan persetujuan untuk me­ngadakan perbincangan de­ngan Korea Utara.

Walaupun Trump melaungkan hasrat berperang dengan Pyongyang sebelum ini, Presiden itu sebaliknya memberi jaminan tiada tindakan ketenteraan akan diambil ketika perbinca­ngan dengan Korea Utara di­te­ruskan.

Apa yang pasti, Pyongyang-Seoul akan meneruskan ren­tak rundingan antara ke­dua-dua negara yang berla­ru­tan sejak sekian lama.

Jangan terkejut jika kontinjen Korea Utara dan Ko­rea Selatan sekali lagi berarak membawa ben­dera biru dan putih yang ber­maksud penyatuan pada temasya yang berlangsung di Pyeongchang pada Februari ini kerana mereka pernah mela­kukannya pada Sukan Olimpik Sydney pada 2000 dan kali ter­akhir pada Sukan Asia Musim Sejuk di China pada 2007.