Jurucakap kementerian, Chang Kyung-soo berkata, dakwaan itu dibuat berdasarkan beberapa petunjuk yang menjurus ke arah rancangan berkenaan.

“Kami juga menjangkakan antara peluru berpandu balistik yang akan dilancarkan itu terma­suk peluru berpandu jenis antara benua,” katanya.

Pyongyang didakwa bakal me­lancarkan peluru berpandu terbaharu selepas pelancaran ujian nuklear yang melibatkan penggunaan bom hidrogen semalam.

Bagaimanapun, tiada maklumat terperinci diberikan mengenai rancangan terbabit atau bila ujian peluru berpandu terbaharu itu akan dilaksanakan selepas ini.

Dalam perkembangan berkaitan, media Korea Selatan dilaporkan menggesa Seoul supaya menimbangkan cadangan membangunkan program senjata nuklear sendiri susulan tindakan Korea Utara itu.

Korea Selatan sebelum ini dilarang daripada berbuat demikian di bawah perjanjian tenaga atom yang ditandatangani pada 1974 bersama Amerika Syarikat (AS).

Namun, peningkatan ancaman nuklear dan peluru berpandu khususnya daripada Korea Utara membuatkan Seoul terpanggil untuk membangunkan program senjata nuklear.

Sementara itu, AS memberi amaran akan menghantar pasukan tentera berskala besar bagi menangani sebarang ancaman Korea Utara.

Setakat ini, dua lagi negara yang berjiran dengan Semenanjung Korea iaitu China dan Jepun mendakwa belum mengalami sebarang kesan radiasi berkaitan atmosfera akibat pelancaran ujian berkenaan.

Jurucakap tertinggi kerajaan Jepun, Yoshihide Suga memberi­tahu, pihaknya tidak mengesan sebarang keganjilan daripada ujian nuklear terbabit manakala Kementerian Alam Sekitar China pula mendakwa, tahap radiasi yang dikesan berhampiran sempadan Korea adalah pada tahap normal. – AFP/REUTERS