Laporan tentang lawatan Jong-un ke sebuah institut kimia disiarkan tidak lama selepas Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson mengeluarkan kenyataan ‘damai’ terhadap Pyongyang selain mengalu-alukan situasi yang berlaku di negara itu sekarang.

Agensi berita KCNA melaporkan, Jong-un telah membuat arahan tersebut selepas diberi taklimat tentang proses pengeluaran kepala peledak peluru berpandu balistik antara benua dan enjin roket menggunakan bahan berasaskan sebatian karbon ketika melawat Institut Bahan Kimia Akademi Pertahanan Sains.

Jong-un dilaporkan telah memberi ‘bonus dan penghargaan khas’ kepada pegawai-pegawai di institut berkenaan dan menggelar mereka sebagai wira.

Sekeping gambar menunjukkan beliau yang memakai suit berjalur halus berwarna kelabu, tersenyum di hadapan carta tentang proses pengeluaran.

Sementara itu, Trump semasa bercakap kepada para penyokongnya di Phoenix mendakwa, ucapan retorik­nya yang agresif sudah membuahkan hasil selepas Jong-un menarik balik rancangan untuk melancarkan peluru berpandu ke arah Guam.

“Saya percaya Jong-un telah mulai menghormati kita dan mungkin atau kemungkinan tidak tetapi mungkin juga sesuatu yang positif akan terhasil,’’ katanya.

Korea Utara telah melancarkan dua ujian nuklear dan berpuluh-puluh ujian peluru berpandu sejak awal tahun lalu sehingga mencetuskan ketegangan di Semenanjung Korea yang telah pun sesak dengan pihak tentera.

Dua ujian peluru berpandu ba­listik antara benua yang dilakukannya pada bulan lalu menyebabkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan perdagangan yang lebih ketat. – Reuters