Malah negara itu juga berjanji akan meneruskan polisi pengawalan senjata nuklear dan penghapusan nuklear global, di samping berjanji untuk ‘setia memenuhi’ tanggungjawabnya terhadap polisi itu.

Perkara tersebut diumumkan oleh pemimpinnya, Kim Jong-un di hadapan beribu-ribu perwakilan pada kongres Parti Pekerja, parti pemerintah negara ini, yang diadakan dalam tempoh lebih 35 tahun, selepas kali terakhir kongres itu diadakan pada 1980-an.

Kenyataan Jong-un itu dipetik media tempatan ketika dunia melahirkan kebimbangan kemungkinan Korea Utara melancarkan ujian nuklear yang kelima.

Ini berikutan tersebarnya imej satelit yang menunjukkan lokasi ujian nuklear Punggye-ri di timur laut negara itu.

Sebelum ini, Jong-un semasa ucapan pembukaan kongres itu, mempertahankan program senjata nuklear Korea Utara dengan memuji ujian bom hidrogen pada 6 Januari lalu sebagai ‘hebat dan merangsangkan’.

Namun, ucapannya dalam majlis tertutup kongres itu, beliau menegaskan Korea Utara adalah negara yang sangat bertanggungjawab berhubung senjata nuklear.

Korea Utara menarik diri daripada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear dunia (NPT) pada 2003 iaitu negara pertama dalam perjanjian tersebut yang mengambil tindakan itu.

Jong-un berkata, Korea Utara mungkin akan memperbaiki hubungan dengan negara-negara yang ‘mesra’ dengannya, walaupun sebelum ini negara terlibat merupakan seterunya.

Terdapat spekulasi bahawa Pyongyang akan memperbaharui usahanya untuk mengadakan rundingan dengan Washington setelah rundingan terdahulu yang diadakan beberapa tahun lalu menemukan jalan buntu. – AFP