Kenyataan itu disiarkan di laman web Agensi Berita Korea Selatan (KCNA) selepas Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Rex Tillerson mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan barisan kepemimpinan China termasuk Presidennya, Xi Jinping di Beijing berhubung siri senjata nuklear negara ini.

“AS dan Korea Selatan adalah salah jika mereka fikir sekatan dan tekanan yang dikenakan akan membuat Korea Utara menghentikan pembangunan senjata nuklear.

“AS dan sekutunya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan sekatan yang mereka lakukan kerana lambat-laun tindakan itu akan memusnahkan mereka,” kata agensi berita tersebut.

Dalam pada itu, Washington memberi jaminan bahawa negara itu kini saling berhubung dengan Korea Utara.

Tillerson memberitahu AS kini cuba mencari ruang bagi membolehkan perbincangan de­ngan Pyongyang diadakan.

“Kami sentiasa berhubung dengan Pyongyang dan keada­an adalah terkawal,” ujarnya.

Jurucakap Jabatan AS, Hea­ther Nauert pula menyatakan Korea Utara tidak menunjukkan minat atau bersedia untuk mengadakan perbincangan me­­ngenai tindakan menghentikan kuasa nuklear.

Bagaimanapun, usaha untuk mengadakan perbincangan de­ngan negara ini dilihat sukar memandangkan Presiden AS, Donald Trump sebelum ini menegaskan bahawa tiada perbincangan akan dilakukan dengan Korea Utara.

Biarpun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan terhadap negara ini, AS melihat China yang me­ru­pakan rakan dagang terbesar Korea Utara sebagai kunci untuk memastikan sekatan yang dibuat berkesan secara menyeluruh.

Perkara itu dapat dilihat apabila Beijing pada minggu ini mengarahkan semua syarikat milik Korea Utara yang berope­rasi di negaranya ditutup. – AGENSI