Dalam satu kenyataan yang dikaitkan dengan Jong-un, beliau berkata, Trump tidak layak untuk memegang kuasa prerogatif pemerintah agung sebuah negara dengan menyifatkan Presiden itu sebagai ‘penyangak dan gengster yang gemar bermain dengan api’.

Al Jazeera melaporkan, beberapa jam kemudian, Menteri Luar Korea Utara, Ri Yong-ho mengeluarkan kenyataan yang mendakwa negara itu merancang melakukan ujian bom hidrogen di Kepulauan Pasifik bagi memenuhi ikrar Jong-un untuk mengenakan tindakan tertinggi ke atas AS.

Penegasan Jong-un itu disiarkan oleh Korean Central News Agency bagi mengulas kenyataan Trump yang dibuat pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Selasa lalu.

Trump dalam ucapannya memberi amaran kepada Pyongyang bahawa Washington akan menghancurkan sepenuhnya Ko­rea Utara jika AS dan sekutunya diserang dengan Presiden itu turut mengejek Jong-un sebagai ‘lelaki roket’ dan mendakwa pemimpin berkenaan dalam misi bunuh diri.

Jong-un dilaporkan sebagai berkata, kenyataan Trump pada Perhimpunan Agung PBB telah meyakinkan beliau dan bukannya menakutkan atau menghentikannya.

“Malah saya percaya saya memilih haluan yang betul dan akan memikirkan tentang tindak balas terhadap Amerika yang menjangkaui jangkaan Trump,” katanya.

Dalam perkembangan ber­asingan, Trump menandatangani satu perintah eksekutif yang membenarkan Washington untuk menguatkan lagi sekatan ke atas Korea Utara berhubung program nuklear negara itu.

Menurut Trump, langkah itu akan membenarkan sekatan terhadap individu dan syarikat yang membiayai dan memudahkan perdagangan dengan Pyongyang.

“Perintah eksekutif kami akan memutuskan sumber pendapatan yang membiayai usaha Korea Utara untuk membangunkan senjata yang berbahaya kepada manusia,” katanya.