Letupan di tapak nuklear Punggye-ri adalah ujian kelima dan paling kuat setakat ini, berukuran 10 kiloton serta dikatakan menghampiri kekuatan bom atom yang menggegarkan Hiroshima pada 1945.

Media tempatan Pyongyang melaporkan, ujian berkenaan yang dijalankan selepas beberapa siri ujian peluru berpandu balistik didakwa mencapai matlamatnya untuk memuatkan peledak nuklear bersaiz kecil ke dalam roket.

“Para saintis telah mengadakan ujian yang dibangunkan di Punggye-ri. Kerajaan mengucapkan tahniah atas kejayaan itu,” kata Ri Chun-hee yang se­ring menyampaikan pengumuman besar di negara itu.

Berita mengenai ujian tersebut tersebar apabila monitor seismik mengesan gempa bumi berukuran 5.3 pada skala Richter di Punggye-ri awal hari ini.

Jurucakap Agensi Meteo­rologi Korea Selatan, Kim Nam-wook memberitahu, letupan itu yang berukuran 10 kiloton adalah hampir dua kali ganda ujian keempat pada Januari lalu dan kurang sedikit daripada bom atom Hiroshima (15 kiloton).

Dalam pada itu, Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye membidas tindakan Kim Jong-un yang berterusan melakukan siri ujian nuklear sejak mengambil tampuk kepimpinan Korea Utara.

“Rejim Jong-un hanya akan menerima lebih banyak sekatan dan provokasi berterusan daripada mereka hanya memakan diri sendiri. Kita akan tingkatkan tekanan de­ngan menggunakan segala kaedah yang ada terma­suk melalui Majlis Keselamatan PBB, untuk memperhebatkan tekanan ke atas Korea Utara” katanya.

Korea Utara sering kali mene­rima tekanan daripada PBB untuk menghentikan ujian nuklear yang dijalankan sejak 2006, namun mereka bertegas meneruskan kerana khuatir ancaman AS.

Beberapa siri pelancaran peluru berpandu balistik turut menerima kecaman hebat, dengan tiga lagi dilancarkan Isnin lalu ketika para pemim­pin dunia menghadiri Sidang Kemuncak G20 di China.

Sementara itu, AS dan Rusia turut lantang mengutuk ujian terbaharu itu dan akan membawa isu tersebut kepada PBB.

“Kami akan cuba memantau untuk mengetahui apa yang berlaku dan bakal membincangkan isu ini dalam konteks PBB,” kata Setiausaha Negara AS, John Kerry.

Selain itu, walaupun China mengkritik tindakan Korea Utara, namun mereka tidak akan mela­kukan tindakan tegas kerana pengaruh Beijing adalah terhad serta percaya AS dan Korea Selatan berkongsi tanggungjawab kerana ketegangan memuncak di rantau itu.

Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying berkata, China akan membuat bantahan terhadap Korea Utara kerana menjalankan ujian nuklear.

Beijing menunjukkan kemarahan sejak AS dan Korea Selatan bersetuju membina sistem Ter­minal Altitud Tinggi Kawasan Pertahanan (THAAD) bagi mengekang ancaman nuklear Korea Utara. –AFP/ REUTERS