Agensi berita Korea Utara, KCNA bagaimanapun tidak menjelaskan mengenai reka bentuk senjata atau waktu ujian itu dilakukan dan dipercayai dikendalikan oleh Akademi Sains Pertahanan Kebangsaan iaitu sebuah agensi yang telah disenaraihitamkan kerana dipercayai mengeluarkan peluru berpandu dan senjata nuklear.

Korea Utara dilaporkan telah membangunkan pelbagai sistem persenjataan sejak awal tahun lepas secara berterusan termasuk peluru berpandu jarak jauh yang mampu mencapai Amerika Syarikat (AS) selain menguji sistem peluru berpandu balistik jarak sederhana, baru-baru ini.

Meskipun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengutuk keras tindakan itu dan melahirkan kebimbangan atas tindakan keterlaluan negara berkenaan, namun Korea Utara tetap meneruskan misi pembangunan senjata.

Sistem antipesawat baharu itu dibangunkan atas alasan mengelakkan pencerobohan oleh kuasa besar.

Sebelum ini, AS menafikan sebarang bentuk ‘niat’ untuk menyerang mana-mana negara termasuk Korea Utara.

Terdahulu KCNA melaporkan Jong-un telah mengarahkan tiga individu supaya bertanggungjawab memantau serta mempercepatkan misi pembangunan sistem senjata berkenaan.

Individu tersebut adalah bekas Panglima Tentera Udara, Ri Pyong-chol; pakar roket veteran, Kim Jong-sik dan Ketua Pusat Pembangunan dan Perolehan Senjata, Akademi Sains Pertahanan Kebangsaan, Jang Chang-ha.

Isnin lalu, Korea Utara men­dakwa berjaya menguji peluru berpandu balistik jarak sederhana yang mengesahkan kebolehpercayaan terhadap sistem panduan tahap akhir sekali gus menunjukkan kemajuan Pyongyang dalam keupayaannya me­nyerang AS.

Jong-un turut memantau ujian itu selain mengesahkan keupayaan enjin bahan api pepejal peluru berpandu terbabit yang dinamakan sebagai Pukguksong-2. – REUTERS