Stesen televisyen tempatan dalam laporannya menyebut, ujian itu dijalankan pada pukul 10 pagi waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia), sekali gus meletakkan Korea Utara sebaris dengan negara kuasa nuklear yang lebih maju.

Ujian berkenaan yang dijalankan hanya dua hari sebelum sambutan ulang tahun kelahiran pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dikesan oleh pusat pemantauan seismologi antarabangsa berdekatan tapak ujian nuklear Punggye-ri.

Bulan lalu, Jong-un mengumumkan bahawa Pyongyang sudah berjaya membangunkan bom berkuasa hidrogen, walaupun pakar senjata antarabangsa menyuarakan keraguan terhadap dakwaan pemimpin tersebut.

Ujian tersebut merupakan yang keempat membabitkan bom berkuasa tinggi, sekali gus menunjukkan keingkaran Korea Utara terhadap amaran pihak antarabangsa termasuk sekutu dan musuh yang melarang Pyongyang menjalani sebarang program pembangunan nuklear.

Tiga ujian sebelum ini yang dijalankan pada 2006, 2009 dan 2013, menyebabkan Pyongyang dikenakan beberapa siri sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan ujian terbaharu hari ini, memberi tekanan kepada Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan yang lebih tegas.

Dalam perkembangan sama, Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan mesyuarat tergempar secara tertutup bagi membincangkan isu ujian bom hidrogen Korea Utara.

Sementara itu, Korea Selatan, China, Amerika Syarikat, Perancis dan Jepun menyuarakan kemarahan terhadap tindakan Pyongyang menjalani ujian tersebut yang disifatkan sebagai tindakan provokatif dan perlu dikenakan tindakan tegas.

Kerajaan China turut memindahkan rakyatnya yang tinggal di kawasan sempadan dengan Korea Utara selepas bangunan yang didiami bergegar akibat kesan letupan bom hidrogen itu.

Walaupun Beijing merupakan sekutu diplomatik Pyongyang selain menjadi rakan perdagangan dan pemberi bantuan, China menyuarakan bantahan terhadap hasrat Korea Utara untuk membangunkan program nuklear dan sering menjadi perantara dalam konflik di semenanjung Korea. – AFP/REUTERS