Dalam ucapannya di Parlimen Korea Selatan iaitu yang pertama pernah dilakukan oleh Presiden AS dalam tempoh 24 tahun, Trump menggambarkan Pyongyang sebagai rejim penindas dan zalim.

Beliau menyeru dunia terutama China dan Rusia yang merupakan sekutu Korea Utara agar bertindak termasuk melaksanakan sepenuhnya sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengurangkan hubungan diplomatik dan perdagangan serta teknologi dengan negara itu.

“Korea Utara merupakan negara yang diperintah oleh orang gila,” dakwa Trump, yang pernah mengeluarkan kenya­taan sama sehari selepas memenangi pilihan raya Presiden.

Katanya, tentera negara itu mempunyai kepercayaan gila ter­hadap masa depan pemimpin sebagai pemerintah utama yang melindungi untuk menawan Semenanjung Korea dan memperhambakan rakyat Korea.

Pakar analisis menyifatkan kenyataan Trump itu bakal mencetuskan kemarahan dari Korea Utara.

Namun ucapan Trump yang dalam rangka lawatan ke Asia itu mendapat tepukan gemuruh ahli Parlimen Korea Selatan selain beliau berikrar tidak gentar dan memberi amaran kepada Pyongyang agar tidak menguji ketetapan AS.

Terdahulu, Trump terpaksa me­­lupakan hasratnya untuk me­lawat Zon Bebas Tentera (DMZ) yang membahagikan sempadan kedua-dua negara Korea itu ekoran cuaca buruk sekali gus menurut White House, menye­babkan pemimpin itu merasa ‘amat kecewa’.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In yang berlepas lebih awal ke kawasan tersebut dan dibiarkan menunggu pemimpin AS itu di pos kawalan sempadan yang dilengkapi dengan pagar elektrik, periuk api dan penghalang kereta kebal. – AFP