Menteri Luarnya, Wang Yi berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan resolusi terbaharu itu dikuatkuasakan ke­rana ia menunjukkan China dan masyarakat dunia menentang pengujian peluru berpandu se­-
cara berterusan oleh Korea Uta­ra.

“Hubungan ekonomi antara China dan Korea Utara adalah rapat maka China terutamanya, terpaksa ‘membayar harga yang tinggi’ dalam melaksanakan resolusi ini.

“Bagi memastikan senjata nuklear dikawal dan juga kestabilan serta keamanan rantau ini, China seperti sebelum ini akan melaksanakan sepenuhnya kesemua isi kandungan resolusi berkaitan,’’ kata beliau dalam kenyataannya hari ini semasa menghadiri mesyuarat negara-negara ASEAN di sini.

Sementara itu, tentera laut dan udara China mengadakan latihan ketenteraan di laut berhampiran Semenanjung Korea ketika ketegangan rantau itu te­rus memuncak berikutan ujian peluru berpandu Korea Utara.

Kementerian Pertahanan Chi­-
na melalui laman sesawang miliknya memaklumkan, latihan besar-besaran itu diadakan di Teluk Bohai dan Laut Kuning termasuk melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu.

Aset tentera laut dan udara China termasuk berpuluh-puluh kapal dan lebih 10 buah pesawat, kapal selam dan anggota pertahanan pantai mengambil bahagian dalam latihan itu.

Kementerian itu berkata, latihan berkenaan bertujuan menguji senjata dan memperbaiki keupayaan tentera mengendalikan serangan di pesisir pantai dan memintas serangan udara.

Namun begitu tempoh latihan tersebut tidak dimaklumkan malah tidak dipastikan sama ada latihan berkenaan cuba memberi mesej kepada pihak-pihak tertentu.

Semalam, Korea Utara berikrar akan bertindak balas yang berbentuk satu ‘pengajaran yang keras’ kepada Amerika Syarikat (AS) jika negara itu melaksanakan tindakan ketenteraan terhadap Pyongyang.

Negara itu turut bertegas ‘walau apa keadaan sekalipun’ tidak akan mengadakan run­dingan berhubung program peluru berpandu balistik dan senjata nuklear miliknya.

Malah Menteri Luar negara komunis itu, Ri Yong-ho berkata, negaranya tidak akan berganjak walau ‘seinci’ pun dalam usaha mempertingkatkan kelengkapan nuklear kecuali polisi berseteru dan ancaman nuklear AS terhadap negaranya dihapuskan.

Yong-ho turut mendakwa bahawa keadaan di Semenanjung Korea semakin kritikal ekoran tindakan sewenang-wenangnya AS di rantau itu.

“Kami tidak berniat untuk menggunakan senjata nuklear atau mengancam mana-mana negara dengan senjata itu kecuali AS termasuk negara lain yang menyertai AS untuk menyerang Korea Utara,’’ katanya dalam satu kenyataan ketika menghadiri mesyuarat yang sama di sini. – Agensi