Akhbar tempatan Rodong Sinmun melalui ruangan lidah pengarangnya menggesa agar sektor pertahanan negara itu menambah jumlah senjata ‘Juche’ secara besar-besaran sejajar polisi Byungjin iaitu polisi pembangunan ekonomi dan senjata nuklear.

Akhbar parti kerajaan itu juga turut menggesa lebih banyak ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) dilakukan bagi menghalang Amerika Syarikat (AS) ‘memperlekehkan’ pemimpinnya, Kim Jong-un.

“Apa juga tindakan AS dan negara bonekanya terhadap Korea Utara, repu­blik ini yang mempunyai tentera yang kuat, senjata dan bom Juche yang hebat, semua jajahan yang telah menjadi kubu dan rak­yatnya yang lengkap bersenjata kekal sebagai benteng berperisai selama-lamanya,’’ lapor akhbar itu.

Dalam ruangan lain, akhbar itu melaporkan bahawa AS akan terus me­nerima ‘pakej hadiah dalam pelbagai bentuk dan saiz’ selagi negara itu meneruskan polisi permusuhannya terhadap Korea Utara.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, tiada sebarang tanda menunjukkan Korea Utara bersiap sedia untuk mengadakan ujian nuklear atau melancarkan peluru berpandu hari ini.

Pada masa yang sama, AS telah memohon Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi Isnin ini bagi mengenakan sekatan lebih ketat terhadap Korea Utara walaupun ditentang oleh China dan Rusia.

Washington telah me­n­yerahkan draf resolusi PBB menggesa sekatan dikenakan terhadap negara tersebut termasuk bekalan minyak, pembekuan aset milik Jong-un, larangan tekstil dan memberhentikan pembayaran kepada pekerja Korea Utara. AFP