Akhbar Asia Business Daily Korea Selatan melaporkan hari ini, Korea Utara dikesan membawa sebuah roket yang dipercayai peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) ke pantai barat negara itu.

Pergerakan roket itu dilihat semalam dan hanya bergerak pada waktu malam bagi mengelak dikesan.

Biarpun Kementerian Pertahanan Korea Selatan semalam memberi amaran Korea Utara akan melancarkan ICBM pada bila-bila masa, laporan itu bagaimanapun tidak dapat di­sahkan.

Sementara itu, Korea Selatan telah berunding dengan pentadbiran Washington untuk menghantar kapal pengangkut pesawat dan pengebom strategik ke Semenanjung Korea ekoran tindakan Korea Utara melancarkan ujian nuklear keenam yang merupakan paling kuat pada Ahad lalu.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan Presiden Do­nald Trump melalui telefon telah bersetuju membatalkan had berat kepala peledak pada peluru berpandu Korea Selatan sekali gus membolehkannya dilancarkan ke Korea Utara.

Sementara itu, pada mesyua­rat Majlis Ke­selamatan di New York, Duta AS, Nikki Haley berkata, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un ‘sengaja mahukan perang berlaku’ sambil menggesa 15 buah negara anggota majlis itu untuk mengenakan sekatan ‘yang sekuat mungkin’ bagi menghalangnya.

Katanya, AS menganggap setiap negara yang mempu­nyai hubungan perniagaan dengan Korea Utara sebagai negara yang memberi bantuan kepada cita-cita nuklear negara itu.

Beliau juga memaklumkan, negaranya akan mengedarkan resolusi terbaharu Majlis Ke­selamatan terhadap Korea Utara minggu ini dan mahu pengundian dilakukan pada Isnin ini.

China yang merupakan negara utama perdagangan dengan Korea Utara dan Rusia mahukan penyelesaian secara aman terhadap krisis itu.

Presiden Rusia, Vladimir Putin menyatakan sebarang sekatan yang baharu ke atas Korea Utara sebagai tidak berguna kerana ‘Korea Utara lebih sanggup makan rumput (kerana lapar akibat sekatan) daripada menghentikan program nuklear mereka. – Reuters