Ketegangan di Semenanjung Korea semakin memuncak apabila Korea Utara mengadakan ujian nuklear keenam yang terkuat pada 3 September lalu namun retorik antara pemimpin Pyongyang dan Washington memasuki paras baharu sejak beberapa hari lalu apabila mereka saling berbalas ancaman dan ejekan.

Menteri Luar Korea Utara, Ri Yong-ho berkata, ulasan yang dimuat naik Trump dalam akaun Twitter Presiden itu mendakwa beliau dan pemimpin Kim Jong-un tidak akan lagi wujud jika mereka mengotakan ancaman yang dibuat adalah bersamaan pengisytiharan perang dan Pyongyang berhak untuk bertindak balas.

Menurut agensi berita Yonhap, Korea Utara menggerakkan jet pejuangnya ke pantai timur negara itu dan mengambil pelbagai pendekatan lain selepas pesawat pengebom AS terbang berhampiran semenanjung ber­kenaan hujung minggu lalu.

Laporan agensi itu yang tidak disahkan mendakwa AS sengaja mendedahkan laluan pe­nerbangan pesawat pengebom ter­babit kerana Korea Utara dipercayai kurang menyedari akan kehadiran armada pesawat ber­kenaan.

Yong-ho berkata, langkah tindak balas Pyongyang termasuk menembak jatuh pesawat pengebom itu walaupun jet berkenaan tidak berada di ruang udara sempadan Korea Utara.

“Seluruh dunia perlu ingat de­ngan jelas bahawa Amerika yang mula mengumumkan perang ke atas negara kami. Persoalan tentang siapa yang akan lenyap akan dijawab kemudian,” kata Yong-ho kepada media di New York.

Jurucakap White House, Sarah Sanders dalam pada itu menafikan bahawa AS mengumumkan perang ke atas Pyongyang dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak masuk akal.

Menurut jurucakap Pentagon, pesawat pengebom itu terbang di ruang udara antarabangsa dan berhak berbuat demikian.

Seoul dalam perkembangan berkaitan meminta kedua-dua pihak supaya meredakan ke­tegangan dengan tidak membenarkan sebarang provokasi yang jika tidak dikawal akan memburukkan lagi keadaan.

“Adalah penting bahawa kami, Korea dan AS bersama menguruskan situasi itu bagi mengelak peningkatan ketegangan atau sebarang bentuk pertempuran yang tidak disengajakan kerana perkara itu boleh menjadi di luar kawalan dengan pantas,” kata Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha.

Sementara itu, China mendakwa perang di Semenanjung Korea tidak akan mempunyai pemenang ekoran perang mulut antara Washington dan Pyongyang dianggap semakin di luar kawalan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Lu Kang berkata, Beijing berharap pemimpin politik AS dan Korea Utara sedar bahawa penggunaan ketenteraan bukan­nya satu penyelesaian yang baik. – REUTERS/AFP