Menurut dua pegawai pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang dipetik CNN semalam, dua imej satelit menunjukkan Pyongyang akan menguji komponen dan kemudahan kawalan peluru berpandu untuk dilancarkan.

Bagaimanapun penilaian oleh maklumat risikan AS mendedahkan, persiapan itu masih diperingkat awal.

Kelmarin, Naib Pengerusi Ketua Turus Staf Bersama, Paul Selva berkata, Korea Utara tidak mempunyai kemampuan untuk menyerang Amerika dengan tepat selain kemampuan peluru berpandu Pyongyang tidak mempunyai kemampuan mengawal hala tuju peluru berpandu.

“Apa yang diberitahu oleh pakar ialah Korea Utara masih belum menunjukkan keupayaan untuk memandu dan mengawal peluru berpandu seperti mana yang diperlukan,” katanya.

Pada masa sama, agensi risikan Korea Selatan juga tidak percaya Korea Utara telah memperoleh keupayaan kemasukan semula untuk program peluru berpandu balistik antara benua.

Namun kata Selva, peluru berpandu itu mempunyai jangkauan untuk sampai ke AS dan pelancaran sistem peluru berpandu Korea Utara mungkin sukar untuk dipantau kerana negara terbabit ‘cekap’ dalam menyembunyikannya.

CNN dalam laporannya juga mendakwa Korea Utara sedang melakukan aktiviti kapal selam pada kadar luar biasa selain menguji komponen penting peluru berpandu yang boleh dilancarkan daripada kapal selam.

Jurucakap Pentagon, Gary Ross enggan mengulas me­ngenai laporan CNN mengenai kemungkinan satu lagi ujian peluru berpandu Pyongyang, dengan mengatakan beliau tidak pasti kepada asas berita tersebut.