Menteri Luar Korea Utara, Ri Yong-ho berkata, terdapat pepatah yang berbunyi, ‘walaupun semasa anjing menyalak, perarakan tetap diteruskan’ dan kenyataan Trump itu sama dengan suara haiwan tersebut.

“Jika Trump bercadang untuk mengejutkan kami dengan bunyi nyalakan anjing jadi beliau jelas sedang bermimpi,” kata Yong-ho.

Semasa berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin, Trump meningkatkan ketega­ngan dengan ancaman menghancurkan sepenuhnya negara yang mempunyai 26 juta penduduk itu jika Pyongyang mengancam Washington dan sekutunya.

Menteri Luar China, Wang Yi berkata, situasi di Semenanjung Korea bertambah serius hari demi hari dan tidak boleh dibiarkan tanpa kawalan.

“Kami menggesa kesemua pihak terlibat supaya tenang dan tidak membiarkan situasi menjadi tegang,” kata Wang.

Semasa pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Kang Kyung-wha mengulangi gesaan kepada Seoul supaya melupakan penggunaan Sistem Terminal Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi (THAAD) yang dakwa Beijing mengancam kese­lamatan negara berkenaan.

Sementara itu, Korea Selatan meluluskan rancangan menyerah­kan bantuan seba­nyak AS$8 juta (RM33.4 juta) kepada Korea Utara berupa produk makanan dan bantuan untuk vaksin dan rawatan perubatan. – REUTERS