Berbanding ujian peluru berpandu sebelum ini, ujian kali ini menimbulkan ‘kekalutan’ ketara negara-negara dunia terutama sekutu AS berikutan keupayaannya yang mampu sampai ke Alaska malah Pentagon menyifatkan peluru berpandu itu adalah jenis baharu yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Seperti biasa juga Presiden Donald Trump menggertak akan ‘bertindak keras’ terhadap Korea Utara itu selain mendesak negara dunia lain memberi amaran kepada Pyongyang tentang akibat tindakannya itu.

Tatkala Trump kalut dengan isu itu, Canselor Jerman, Angela Merkel mengulangi pendirian tegasnya bahawa Eropah tidak boleh lagi berharap kepada AS sebaliknya Jerman akan bekerjasama dengan China bagi meredakan masalah dunia.

Rusia dan China pula menentang sebarang kekerasan atau sekatan ekonomi terhadap Korea Utara dalam usaha menyelesaikan isu berkenaan.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in juga dilihat ‘berlembut’ apabila memaklumkan beliau bersedia untuk bertemu Jong-un pada bila-bila masa dan di mana sahaja bagi mengendurkan ke­tegangan di rantau itu.

Maka yang kelihatan ‘menang’ dalam isu ini adalah Korea Utara walaupun sebenarnya Jong-un tidak peduli pun apa juga gertakan atau tindakan dunia terhadap negaranya.

Berdegar-degar kecaman dan ancaman dunia terhadap Korea Utara namun Jong-un seolah-olah ingin menyatakan kepada dunia bahawa ‘ada aku kisah’ malah berterusan mempamerkan kekuatan ketenteraan dan senjata negaranya.

Apa tidaknya, sehingga kini segala ancaman negara-negara musuhnya hanyalah gertakan semata-mata, tiada sebarang pelaksanaan malah semakin mengucar-ngacirkan musuh-musuhnya.

Hakikatnya, tindakan ketenteraan yang lebih keras tidak memberi kesan kepada Korea Utara kerana mengambil kira tindakan ‘gila’ Jong-un yang boleh pada bila-bila masa melancarkan serangan terhadap negara jirannya Korea Selatan.

Malah sekatan ekonomi yang ada sekarang terhadap negara itu juga gagal melumpuhkan kekuatan tenteranya.

Usaha musuh-musuh Jong-un sekarang adalah untuk memberi tekanan agar beliau menghentikan semua program nuklear dan peluru berpandu negara itu namun sudah tentu tidak akan berlaku.

Beliau dikatakan telah melihat kesan tindakan itu terhadap pe­mimpin Libya, Muammar Gaddafi yang menghentikan program nuklear negaranya.

Pengakhirannya Gaddafi di­singkir dan akhirnya terbunuh, semuanya atas bantuan AS selepas rakyatnya bertindak menentang pemerintahannya.

Maka menurut media Barat, kemungkinan itu yang dilihat oleh Jong-un bahawa program nuklear negaranya boleh menghalang usaha AS menggu­lingkan beliau.