Keadaan jerebu di Indonesia terutamanya di kawasan paling terjejas teruk iaitu Sumatera dan Kalimantan dilihat tidak berubah berbanding hari-hari sebelum­nya, apabila ruang udara masih diselubungi asap berwarna ku­ning dengan kadar penglihatan tidak begitu jelas.

Sebelum ini, angka korban akibat jerebu di negara ini adalah 10 orang.

“Pagi ini kami mendapat laporan angka kematian meningkat kepada 19 orang,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Khofifah Indar Parawansa, sambil menambah, semua mangsa berasal dari Sumatera dan Kalimantan.

Sumber berkata, sesetengah mangsa meninggal dunia kerana terlibat dalam kerja-kerja pema­daman api atau akibat terlalu terdedah kepada pencemaran udara.

Presiden, Joko Widodo dilapor akan mengunjungi wilayah paling terjejas akibat bencana jerebu pada minggu ini, selepas memendekkan lawatannya ke Amerika Syarikat.

Selain itu, sebanyak tiga buah kapal perang telah tiba Kalimantan dan kini bersiap sedia untuk memindahkan penduduk yang terjejas ke kawasan selamat.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pasukan Keselamatan Indonesia, Luhut Panjaitan berkata, Agensi Pemantauan Cuaca Indonesia (BMKG) gagal meramalkan fenomena El Nino lebih buruk berbanding tahun 1997.

“Saya akui ramalan cuaca yang dilakukan oleh BMKG tidak tepat dan tidak meramalkan El Nino tahun ini lebih teruk berbanding tahun 1997,” jelasnya. 
– AFP/REUTERS