Komen Trump yang dibuat ketika berucap pada satu perhimpunan ala kempen pilihan raya di Florida telah memaksa Kedutaan Sweden di AS me­minta penjelasan lanjut daripada Jabatan Negara AS.

“Anda lihat apa yang berlaku di Jerman dan apa yang berlaku pada malam tadi di Sweden.

“Sweden, adakah anda akan percaya? Sweden, mereka ambil sejumlah besar pelarian dan kini mereka berdepan masalah yang mereka tidak fikir akan berlaku,” kata Trump.

Trump tanpa sebarang bukti bagaimanapun tidak menghuraikan dengan lebih lanjut berhubung kejadian di Sweden seperti yang didakwa sekali gus mengakibatkan rakyat Sweden kebingungan.

“Kita telah kemukakan soalan itu kepada Jabatan Negara AS bagi mendapatkan penjelasan lanjut,” kata jurucakap Kementerian Luar Sweden, Catarina Axelsson.

Tidak cukup dengan itu, rak­yat Sweden menyindir kenya­taan Trump di Twitter menggunakan hashtag #LastNightInSweden. Sindiran juga dibuat oleh bekas Perdana Menteri Sweden, Carl Bildt.

Bagaimanapun seolah-olah menyedari kesilapannya, Trump dalam satu status di Twitter menjelaskan kenyataannya dibuat berdasarkan laporan te­levisyen yang dilihatnya.

“Kenyataan saya mengenai insiden di Sweden adalah merujuk kepada berita yang disiarkan di @FoxNews berkaitan pelarian dan Sweden,” kata Trump semalam.

Jurucakap White House memberi­tahu media, kenyataan Trump secara umum merujuk kepada peningkatan kadar jenayah dan bukannya kejadian khusus di Sweden.

Bagaimanapun berdasarkan statistik, kadar jenayah di Sweden menurun sejak 2005 walaupun negara ini mengambil ribuan pelarian dari Syria dan Iraq.

Dalam perkembangan lain, Datuk Bandar London, Sadiq Khan mahu Trump dina­fi­kan lawatan negara ke Britain ekoran dasar imigresen yang diperkenalkan Presiden AS itu yang dianggapnya kejam dan memalukan.

Kenyataan Sadiq itu dibuat sehari sebelum ahli Parlimen Britain dijangka membahaskan peti­syen di­tanda­tangani 1.8 juta penduduk yang mahukan Trump hanya diberikan lawatan sebagai ketua negara dan bukannya lawatan negara. – REUTERS/DPA