Komander kumpulan militan IS keturunan Chechen yang kudung sebelah
Komander kumpulan militan IS keturunan
Chechen Akhmed Chataev. - AGENSI

Menurut media Turki yang dipetik Mail Online, Akhmed Chataev yang menyelia kira-kira 130 anggota militan IS di Syria dipercayai mewujudkan jaringan sel pengganas untuk dihantar ke Rusia.

Teori itu muncul ketika pihak berkuasa Turki mendedahkan gambar tiga pengebom bunuh diri yang dirakam kamera ra­kaman litar tertutup (CCTV), yang me­nunjukkan suspek memakai jaket tebal dan membawa beg serbaguna sebelum melancarkan serangan yang mengorbankan seba­nyak 42 orang di lapangan tersebut.

Sumber keselamatan Turki mendakwa ketiga-tiga penyerang itu berasal dari negara bekas Kesatu­an Soviet iaitu Dagestan, Kur­distan dan Uzbekistan yang dipercayai sebahagian daripada sel pengganas yang bertutur dalam bahasa Rusia.

Akhmed difahamkan telah me­luaskan pengaruhnya sejak ke­belakangan ini dengan menjadikan remaja lelaki daripada ke­luarga pendatang yang meme­gang pasport Kesatuan Eropah (EU) sebagai rekrut baharu.

Menurut Majlis Kesela­matan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Akhmed kini me­ngendalikan sebanyak 130 anggota militan.

“Kebanyakan remaja yang direkrut itu berasal dari EU berbanding Rusia,” kata seorang sumber Rusia.

Akhmed yang turut digelar ‘One Armed’ mendakwa se­belah tangannya dikerat semasa dia dipenjarakan di Georgia atas sebab yang tidak dinyatakan.

Dia meninggalkan Rusia 12 tahun lalu sebelum mendapat status pelarian di Austria.

“Sejurus dibebaskan dari penjara di Georgia, Akhmed pergi ke Syria dan bertanggungjawab dalam semua operasi militan di Rusia,” kata sumber itu.

Januari lalu, akhbar prokerajaan Rusia, Kommersant mendakwa Akhmed melatih penyerang bagi melaksanakan serangan ke­ganasan bukan sahaja di negara itu, malah di Eropah.

Sementara itu, penasihat kepada Pengerusi Jawatankuasa Antikeganasan Nasional Rusia, Andrey Przhezdomsky mendakwa, Akhmed kini merupakan ketua unit khas mi­­litan IS yang mengendalikan serangan letupan di Rusia dan Eropah.