Isnin lalu, kapal pemusnah pe­luru berpandu USS John S. McCain berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC di selatan Si­ngapura berhampiran Selat Melaka menyebabkan 10 anak kapal hilang dan lima lagi cedera.

Insiden itu merupakan kemalangan besar kedua membabitkan kapal perang AS dalam tempoh dua bulan dan juga yang keempat dalam tempoh setahun.

Armada Ketujuh Tentera Laut AS yang berpusat di Yokosuka, Jepun merupakan angkatan laut barisan hadapan AS yang terbesar dengan mempunyai 50 hingga 70 buah kapal dan kapal selam di bawahnya.

Aucoin yang menjadi ko­mander sejak tahun 2015 dijangka bersara dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Dalam perkembangan yang sama, pihak berkuasa tentera laut negara ini juga sedang menyiasat kemungkinan sama ada kemalangan yang berlaku mempunyai kaitan dengan serangan siber.

Walau bagaimanapun, sesete­ngah pakar percaya bahawa agak sukar untuk mengaitkannya de­ngan perkara berkenaan dan tentera laut AS semalam mengatakan apa yang berlaku mungkin berpunca daripada kesilapan manusia.

Sementara itu, Ketua Operasi Tentera Laut, Laksamana John Richardson yang tidak menolak apa yang berlaku disebabkan oleh se­rangan siber atau gangguan luar berkata, pihaknya mengkaji setiap kemungkinan.

“Kami melihat segala kemungkinan,” kata Richardson ketika ditanya me­ngenai dakwaan berhubung serangan siber itu.

Dalam pada itu, ke­tua firma keselamatan siber antarabangsa, Votiro, Itar Glick berkata, Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) kapal pe­rang AS berkemungkinan digodam sehingga menyebabkan kedudukan sebenar mereka tidak dapat dikesan.

“Saya fikir penggodam boleh me­lakukan perkara seperti itu dan jika mereka dibiayai oleh negara ter­tentu, mereka mungkin mempunyai sumber yang betul untuk melaksanakan serangan tersebut,” ujar Glick.

Dakwa Glick, Korea Utara dan China berkemungkinan merupakan dalang di sebalik serangan terbabit. – AFP/REUTERS