Perkara itu menimbulkan kebimbangan langkah terbabit akan mendorong kepada diskriminasi terang-terangan kepada etnik Arab.

Ahli Parlimen Arab dan penduduk Palestin menyifatkan RUU itu sebagai perkauman selain hanya mengesahkan amalan ‘apartheid’.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan 62 undi menyokong manakala 55 lagi menentang langkah yang menjadikan Hebrew sebagai bahasa kebangsaan dan mentakrifkan kewujudan komuniti Yahudi sebagai kepentingan negara.

Bahasa Arab yang sebelum ini dianggap sebagai bahasa rasmi kebangsaan hanya diberikan ‘status istimewa’.

Undang-undang itu diluluskan awal pagi ini menyebut Israel sebagai ‘tanah air bersejarah Yahudi’ dan menyatakan orang Yahudi mempunyai hak untuk menentukan nasib sendiri di wilayah ber­kenaan.

Walau bagaimanapun, fasal kontroversi yang dilihat sebagai lebih khusus mengesahkan penubuhan komuniti hanya etnik Yahudi berubah selepas perkara tersebut dikritik hebat, termasuk daripada Presiden Israel, Reuven Rivlin.

Perundangan itu menjadi sebahagian daripada undang-undang asas Israel yang berfungsi sebagai Perlembagaan de facto.

“Ini adalah saat yang menentukan dalam sejarah Israel yang menetapkan bahasa kami, lagu kami dan bendera kami,” kata Perdana Menteri, Benjamin Ne­tanyahu selepas undian rang undang-undang yang disokong oleh kerajaan sayap kanannya.

Pelbagai parti politik pembangkang mengecam undian itu dengan ketua perikatan utama, Arab Joint List, Ayman Odeh menyifatkan langkah tersebut sebagai kematian demokrasi.

Ahli Parlimen Arab yang menyifatkan perundangan itu sebagai perkauman mengoyakkan salinan rang undang-undang di ruang Parlimen Israel selepas undang-undang diluluskan.

Etnik Arab Israel bersamaan 17.5 peratus daripada lebih lapan juta penduduk Israel dan sering me­ngadu mengalami diskriminasi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat menyifatkan undang-undang tersebut berbahaya dan perkauman yang secara rasmi mengesahkan ‘apartheid’ dan menjelaskan Israel sebagai sebuah sistem ‘apartheid’. – AFP/REUTERS