Menurut beliau, rancangan menurunkan kadar tarif itu termasuk dalam fokus 100 hari selepas beliau dilantik sebagai Presiden.

Jelas Prabowo, beliau yakin dapat menurunkan tarif elektrik berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pasukan pakar yang dibentuknya.

“Saya sudah bertanyakan kepada pasukan pakar, bolehkah kita menurunkan tarif elektrik dan setelah mereka melakukan pengiraan secara teliti, mereka maklumkan bahawa perkara itu tidak mustahil dan boleh dilakukan.

“Saya tanya pula berapa lama masa diperlukan untuk menurunkan harga elektrik dan mereka menjawab, langkah itu boleh dilakukan dalam tempoh 100 hari selepas saya dilantik sebagai Presiden Indonesia,” katanya seperti yang dipetik portal berita Republika.

Selain itu, Prabowo juga berjanji untuk menurunkan harga barangan asas untuk penduduk, namun beliau enggan menjelaskan secara terperinci berhubung rancangan tersebut kerana bimbang ditiru oleh pihak lawan.

“Saya juga bertanya kepada pasukan pakar itu adakah kita mampu menurunkan harga barangan keperluan asas dan mereka menjawab boleh dan apa syaratnya?

“Namun, saya tidak akan be­ritahu sekarang kerana nanti ada pihak yang cuba meniru langkah itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Prabowo menegaskan perjuangannya selama ini adalah untuk kemakmuran rakyat Indonesia termasuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat yang memerlukan.

“Saya tidak akan ungkapkan semua perkara ini jika tidak yakin dapat melakukannya. Kita akan bangunkan ratusan kilang, sekali gus mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk masyarakat dan ekonomi Indonesia juga boleh ditingkatkan,” katanya.