Jong-un, bagaimanapun memberitahu amaran sebarang tindakan provokatif yang dilakukan oleh AS hanya akan mempercepatkan rancangannya untuk menyerang pulau berkenaan.

AS sebelum ini juga mengingatkan Korea Utara bahawa pihaknya akan bertindak terhadap sebarang peluru berpandu yang disasarkan ke arah Guam yang turut menempatkan kira-kira 163,000 orang penduduk dan pangkalan tentera AS.

Sesetengah penganalisis berpendapat tindakan pemimpin negara komunis itu membuka peluang untuk mengurangkan ke­tegangan dalam krisis yang kian memuncak antara kedua-dua buah negara.

“Jika mereka tetap mahu menjalankan tindakan berbahaya ke atas Semenanjung Korea, Korea Utara akan mengambil langkah keselamatan.

“Bagi meredakan ketegangan dan menghindari konflik ketenteraan di Semenanjung Korea, adalah penting untuk AS memilih tindakan yang sewajarnya,” ujar Jong-un seperti yang dipetik oleh agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.

Menurut para pegawai tentera Korea Utara kepada KCNA, rancangan serangan itu akan dilaksanakan bila-bila masa selepas Jong-Un membuat keputusan meluluskannya.

Sementara itu, Presiden Korea Selatan Moon Jae-in berkata, kerajaannya akan berusaha untuk mengelak berlakunya perang dengan apa cara sekali pun dan menegaskan tiada tindakan ketenteraan (ke atas Korea Utara) boleh diambil tanpa kebenaran negaranya.

“Sebarang tindakan ketente­raan hanya boleh diputuskan oleh Korea Selatan dan tiada siapa yang lain boleh membuat keputusan ini,” kata beliau dalam ucapan sempena ulang tahun pembebasan negara itu daripada pemerintahan Jepun pada tahun 1945.

Terdahulu, Washington mem­beri amaran bahawa negara itu bersedia menggunakan ke­kerasan untuk menghentikan program peluru berpandu balistik serta nuklear Korea Utara selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah sebulat suara mengenakan sekatan baharu ke atas Pyongyang pada bulan ini. – AFP